DENPASAR: Gabenor Bali, I Wayan Koster mengumumkan rancangan untuk melarang pengeluaran air botol yang berkapasiti kurang daripada satu liter bermula Januari tahun depan, sebagai langkah menangani masalah sisa pepejal yang semakin meruncing di pulau pelancongan itu.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu mesyuarat bersama pengeluar air botol di Denpasar pada Khamis, Koster berkata, dasar baharu itu bertujuan memelihara alam sekitar dan ekosistem Bali yang kini terancam akibat lambakan sisa plastik pakai buang khususnya botol air.
“Bagi memelihara alam sekitar dan ekosistem Bali, pengeluaran air botol bawah satu liter mesti dihentikan.
“Saya arahkan supaya pengeluaran dihentikan serta-merta dan semua stok sedia ada dijual habis sebelum tahun depan. Menjelang tahun hadapan, tiada lagi botol air di bawah satu liter dibenarkan dalam pasaran di Bali,” katanya seperti dipetik oleh Kompas.com.
Koster turut mendedahkan bahawa hampir kesemua tapak pelupusan di Bali kini mencapai kapasiti maksimum dengan sebahagian besar sisa terdiri daripada plastik pakai buang.
“Bali menarik ramai pelancong kerana keindahan ekosistem dan budayanya. Jika alam sekitar rosak, tiada siapa akan datang ke sini, tiada pelancong, tiada pelabur. Tanpa pelancongan, tiada pertumbuhan ekonomi,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, dasar ini mendapat sokongan penuh daripada kerajaan pusat dan Bali akan dijadikan contoh kepada wilayah lain dalam pelaksanaan dasar mesra alam.
Bulan lalu, Koster turut mengeluarkan satu pekeliling sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar mengurangkan sisa di Bali.
Peraturan tersebut melarang penggunaan plastik pakai buang seperti beg plastik, produk styrofoam dan straw plastik di premis perniagaan, pejabat kerajaan, sekolah, hotel, restoran, pasar serta tempat ibadah.
Semua premis ini juga diwajibkan mengasingkan sisa pepejal, membuat kompos sisa organik dan mengitar semula sisa bukan organik sama ada secara kendiri atau melalui perkhidmatan pihak ketiga supaya hanya sisa yang benar-benar tidak boleh diguna semula dihantar ke tapak pelupusan.
Perniagaan yang gagal mematuhi peraturan berisiko kehilangan lesen manakala kampung yang tidak menguatkuasakannya boleh dikenakan tindakan termasuk kehilangan bantuan kerajaan.
Bali kini berdepan isu pelancongan berlebihan dan pembangunan tidak terkawal yang menyebabkan masalah alam sekitar seperti banjir dan peningkatan jumlah sisa.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, hujan lebat berterusan telah menyebabkan banjir besar, menenggelamkan jalan, rumah, hotel dan vila termasuk di kawasan pelancongan popular.
Pada Rabu lalu, banjir air pasang turut melanda beberapa perkampungan di daerah Jembrana mengakibatkan lebih 30 rumah dinaiki air dan mengalami kerosakan besar.


































