KOTA KINABALU: Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, Reverend Datuk Ir. Jerry Dusing, menyeru seluruh rakyat Sabah agar menjadikan Pesta Kaamatan sebagai detik memperkukuh perpaduan, keharmonian dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negeri ini.
Mengucapkan selamat menyambut perayaan itu kepada seluruh masyarakat negeri, khususnya komuniti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR), beliau berkata, Kaamatan adalah masa khas untuk bersyukur atas hasil tuaian yang melimpah, sebuah perayaan yang berakar umbi dalam warisan budaya dan kerohanian Sabah.
Beliau menegaskan bahawa perayaan ini bukan sahaja mencerminkan hubungan erat masyarakat orang asal dengan tanah dan alam semula jadi, tetapi juga merupakan satu manifestasi kesyukuran kepada Tuhan, pencipta segala kehidupan.
“Sebagai orang Kristian, kami menghargai tradisi masyarakat orang asal yang mencerminkan rasa syukur kepada Tuhan atas segala berkat-Nya kepada tanah dan rakyat negeri ini,” katanya sempena sambutan Pesta Kaamatan 2025 yang diraikan pada 30 dan 31 Mei.
Beliau berkata, nilai-nilai yang terkandung dalam Pesta Kaamatan — seperti kesyukuran, keharmonian dan hormat-menghormati — seharusnya diraikan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan etnik.
“Pesta Kaamatan mengingatkan kita akan pentingnya perpaduan, saling menghormati, dan keharmonian antara semua kaum dan agama di Sabah,” katanya.
Menurut beliau, Kaamatan juga membuka ruang untuk mempererat ikatan kekeluargaan dan memperkukuh semangat persaudaraan antara rakyat Sabah yang berbilang bangsa.
“Marilah kita menyambut perayaan ini untuk memperkukuh ikatan sebagai satu keluarga, menghargai kepelbagaian yang memperkaya masyarakat kita,” katanya lagi.
Beliau turut mengajak semua penganut Kristian untuk turut serta dalam sambutan Kaamatan, sekali gus menjadikan perayaan itu sebagai wadah memupuk keharmonian serta kefahaman antara komuniti.
“Semangat Kaamatan mengajar kita untuk hidup dalam semangat kebersamaan, saling menyokong dan berdoa demi masa depan negeri yang aman dan sejahtera,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar perayaan kali ini membawa kebahagiaan, kedamaian dan kemakmuran kepada setiap keluarga di Sabah.
“Semoga Kaamatan ini membawa kedamaian, kebahagiaan, dan kemakmuran kepada setiap rumah. Mari kita terus berdoa untuk kesejahteraan Sabah dan masa depan yang penuh kasih sayang serta hormat-menghormati,” katanya.


































