GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran terdapat kemungkinan sebanyak 70 peratus purata suhu global antara tahun 2025 hingga 2029 akan melepasi had 1.5 darjah Celsius, sekali gus menandakan tahap pemanasan bersejarah dunia bakal berterusan.
Menurut Utusan Malaysia, laporan iklim tahunan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) agensi cuaca dan iklim di bawah PBB mendedahkan, bumi dijangka terus mencatatkan suhu tinggi selepas dua tahun paling panas yang pernah direkodkan iaitu pada 2023 dan 2024.
“Kita baru sahaja mengalami 10 tahun paling panas dalam sejarah. Malangnya, laporan WMO kali ini tidak menunjukkan sebarang petanda pemanasan ini akan reda dalam masa terdekat. Ini bermakna kesan negatif terhadap ekonomi, kehidupan harian, ekosistem dan planet kita akan terus meningkat,” kata Timbalan Setiausaha Agung WMO, Ko Barrett.
Sasaran Perjanjian Iklim Paris 2015 menetapkan usaha mengehadkan pemanasan global kepada bawah 2 darjah Celsius berbanding tahap pra-industri dan seboleh-bolehnya mengehadkannya kepada 1.5 darjah Celsius.
Paras ini diukur berbanding purata suhu antara tahun 1850 hingga 1900, sebelum bermulanya revolusi perindustrian yang menyaksikan pembakaran arang batu, minyak dan gas secara besar-besaran yang melepaskan karbon dioksida (CO2), gas rumah hijau utama penyumbang perubahan iklim namun, semakin ramai saintis kini berpendapat sasaran 1.5 darjah Celsius tidak lagi realistik kerana pelepasan CO2 masih meningkat setiap tahun.
Unjuran terkini WMO, yang disediakan berdasarkan ramalan beberapa pusat iklim global dan dikoordinasi oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Britain (Met Office), menunjukkan purata suhu permukaan global antara 2025 hingga 2029 dijangka berada antara 1.2 hingga 1.9 darjah Celsius melebihi paras pra-industri.
Satu pendekatan menggabungkan pemerhatian sedekad lalu (2015–2024) dengan unjuran dekad akan datang (2025–2034), yang memberikan anggaran semasa pemanasan global sebanyak 1.44 darjah Celsius namun, tiada kata sepakat antarabangsa setakat ini tentang kaedah paling tepat bagi menilai pemanasan jangka panjang.
Setiap peningkatan kecil dalam suhu boleh menyebabkan fenomena ekstrem seperti gelombang haba, hujan lebat, kemarau serta pencairan ais di kutub dan glasier.
Tahun ini juga menyaksikan cuaca luar biasa di mana China mencatat suhu melebihi 40 darjah Celsius di beberapa kawasan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) hampir mencecah 52 darjah Celsius, manakala Pakistan dilanda angin kencang selepas gelombang haba melampau.
WMO turut menjangkakan pemanasan di Artik akan terus meningkat dengan kadar lebih cepat berbanding purata global sepanjang lima tahun akan datang disamping ramalan turut menunjukkan ais laut di Laut Barents, Laut Bering dan Laut Okhotsk akan terus menyusut antara tahun ini hingga 2029.
Bagi taburan hujan, Asia Selatan dijangka mengalami cuaca lebih lembap daripada biasa, manakala Sahel, Eropah Utara, Alaska dan Siberia Utara turut diramal lebih basah sebaliknya, wilayah Amazon berdepan kemungkinan keadaan lebih kering daripada purata.

































