Rafie Robert
KENINGAU: Pesta Kaamatan 2025 akan diraikan dengan penuh warna-warni dan semangat perpaduan di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang pada 30 dan 31 Mei 2025, menampilkan kepelbagaian budaya masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) serta penyertaan masyarakat dari seluruh negara.
Dengan tema “Kaamatan Untuk Semua”, sambutan tahun ini memberi penekanan kepada keterangkuman, keharmonian dan penghargaan terhadap warisan budaya, menjadikan Kaamatan sebagai pesta rakyat merentas kaum dan agama.
Antara tarikan utama sambutan ialah Baloi Keningau, rumah tradisi yang mewakili masyarakat Keningau, yang terletak di dalam Koisaan Cultural Village (KCV), kawasan kebudayaan di Hongkod Koisaan.
Pengerusi Badan Penyelaras KDCA Keningau, Rafie Robert mengajak orang ramai untuk hadir dan menyaksikan keunikan budaya masyarakat Keningau:
“Kami mengalu-alukan kehadiran semua untuk mengunjungi Baloi Keningau di Koisaan Cultural Village. Ia bukan sekadar rumah tradisi, tetapi lambang warisan dan identiti masyarakat kami. Kaamatan adalah pesta untuk semua, dan kami amat berbesar hati untuk berkongsi budaya ini bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
30 Mei 2025 akan menyaksikan pelbagai aktiviti kebudayaan di rumah-rumah tradisi etnik di KCV, termasuk demonstrasi masakan tradisional, pameran kraftangan, persembahan tarian dan muzik rakyat.
Menariknya, Baloi Keningau akan mengadakan persembahan Tarian Etnik Murut Naabai, Tarian Etnik Dusun Lobu, Persembahan Muzik Tongunggu (Muzik Bambu) dan Sompoton.
Sambutan akan mencapai kemuncaknya pada 31 Mei 2025 dengan berlangsungnya Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Kebangsaan, yang menyaksikan penyertaan wakil-wakil dari seluruh daerah Sabah serta perwakilan dari negeri-negeri lain di Malaysia.
Pertandingan ini bukan sahaja menyerlahkan keindahan dan keperibadian wanita Kadazandusun, tetapi juga mengetengahkan pengetahuan budaya dan semangat komuniti.
Pesta Kaamatan merupakan simbol kesyukuran atas hasil tuaian serta lambang penyatuan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
Rafie menyeru semua rakyat untuk hadir dan meraikan perayaan ini bersama-sama.


































