Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengejutkan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dalam satu pertemuan di Rumah Putih apabila menayangkan satu video yang didakwanya sebagai bukti berlakunya genosid terhadap masyarakat kulit putih di negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, insiden tegang yang berlaku itu disifatkan sebagai antara pertembungan paling panas di Pejabat Oval sejak insiden membabitkan Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sebelum ini.
Ramaphosa sebelum ini menyatakan hasrat menetapkan semula hubungan antara AS dan Afrika Selatan bagaimanapun menolak provokasi tersebut dan mencadangkan isu berkenaan dibincang secara tenang.
Trump sejak sekian lama mendakwa masyarakat Afrikaner iaitu kumpulan minoriti berketurunan penjajah Belanda menjadi mangsa penindasan di Afrika Selatan dan bertindak agresif apabila
Ramaphosa menyatakan tiada genosid berlaku terhadap golongan tersebut.
“Kami ada beribu-ribu cerita mengenainya,” kata Trump sebelum mengarahkan kakitangannya memadamkan lampu dan menayangkan video tersebut.
Dalam suasana penuh tekanan, Ramaphosa yang duduk di sisi Trump hanya mampu tersenyum hambar ketika menyaksikan tayangan tersebut sambil diperhatikan oleh jutawan kelahiran Afrika Selatan Elon Musk, Senator JD Vance, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth serta para diplomat dan wartawan dari kedua-dua negara.
Video berkenaan memaparkan rakaman bekas Presiden Jacob Zuma dan pemimpin pembangkang berhaluan kiri, Julius Malema, menyanyikan lagu era perjuangan menentang apartheid bertajuk Kill the Boer yang merujuk kepada petani kulit putih atau Afrikaner sambil disambut dengan tarian oleh penyokong mereka.
Ramaphosa secara tenang menegaskan pandangan yang terkandung dalam video tersebut bukan dasar kerajaan.
Turut ditayangkan ialah rakaman kawasan perkuburan dengan ratusan salib putih yang menurut Trump adalah kubur milik petani kulit putih yang dibunuh. Ramaphosa yang kelihatan tenang tetapi berwaspada menyatakan beliau belum pernah melihat lokasi tersebut dan ingin mengetahui lebih lanjut.
Trump kemudian mengemukakan beberapa keratan akhbar yang kononnya melaporkan pembunuhan terkini di Afrika Selatan, membaca beberapa tajuk utama sambil berkata ia kematian yang mengerikan.
Ramaphosa mengakui kadar jenayah di Afrika Selatan tinggi dan majoriti mangsa adalah rakyat kulit hitam. Namun, Trump memotong dengan mengatakan petani-petani itu bukan orang kulit hitam.
Teori konspirasi mengenai ‘genosid kulit putih’ sudah lama menjadi agenda kumpulan pelampau kanan perkauman dan kebelakangan ini diperkukuhkan oleh tokoh seperti Musk serta pengulas konservatif, Tucker Carlson.


































