Dr. Ramzah Dambul
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, akan menganjurkan majlis pelancaran bagi sebuah projek kajian sejarah bertajuk Srikandi Dang Insum: Kepahlawanan Wanita Dalam Sejarah Sabah di Hotel Gem, Beaufort, Rabu depan (21 Mei).
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, kajian ini bertujuan mendokumentasikan secara ilmiah sejarah perjuangan tokoh wanita tempatan, Dang Insum, yang memimpin penentangan terhadap British North Borneo Chartered Company (BNBC) di Borneo Utara (kini Sabah) pada penghujung abad ke-19.
“Sejarah Sabah kaya dengan kisah kepahlawanan dalam memperjuangkan kemerdekaan, namun sebahagian besarnya masih dalam bentuk tradisi lisan, kesenian pementasan dan karya sastera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kajian ini merupakan usaha proaktif IDS bersama rakan strategiknya untuk merekodkan secara sahih dan berintegriti keberanian serta kepimpinan tokoh wanita seperti Dang Insum. Inisiatif ini penting bagi memastikan peranan dan sumbangan wanita dalam sejarah Sabah terus diangkat dan diiktiraf dalam wacana sejarah negeri, seterusnya menjadi rujukan generasi akan datang.
“Tokoh ini bukan sahaja penting kepada sejarah daerah Beaufort, malah melambangkan semangat juang wanita Sabah dalam era penjajahan British,” tambahnya.
Katanya lagi, kajian ini turut berpotensi menjadi asas kepada pembangunan produk pelancongan berasaskan sejarah dan warisan, sekali gus memperkukuh identiti tempatan dan memperkasa jati diri generasi muda.
Majlis pelancaran projek akan dirasmikan oleh Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun. Program berkenaan turut merangkumi lawatan ke tapak tugu Dang Insum di Padas Damit serta sesi taklimat yang akan disampaikan oleh ketua penyelidik kajian tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh menghubungi Penyelaras Program, Royaini Matusin melalui e-mel di royaini.matusin@ids.org.my atau hubungi talian 088-450 500.
































