Dr. Ramzah Dambul
KOTA KINABALU Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), Dr. Ramzah Dambul menegaskan bahawa menilai prestasi Kerajaan Negeri hanya berdasarkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah pendekatan yang tidak menyeluruh dan boleh mengelirukan.
Beliau berkata, walaupun KDNK menunjukkan jumlah keseluruhan aktiviti ekonomi dalam negeri, ia tidak mencerminkan agihan kekayaan dan tidak semestinya mencerminkan kecekapan urus tadbir Kerajaan Negeri.
Dr. Ramzah menjawab dakwaan Setiausaha Biro Penerangan Pusat Warisan, Khairuddin Daud.
“Dr. Ramzah sendiri mengakui bahawa pencapaian tertinggi KDNK Sabah adalah pada 2019 dengan RM85.6 bilion ketika Warisan mentadbir. Namun sehingga kini, GRS+PH gagal mengatasi rekod tersebut. Apa gunanya slogan ‘pemulihan ekonomi’ jika angka prestasi terbaik masih dari zaman Warisan?” soal Khairuddin.
Mengulas dakwaan itu, Dr. Ramzah menjelaskan bahawa KDNK hanyalah petunjuk kepada saiz ekonomi secara kasar dan tidak mengambil kira faktor keadilan agihan atau kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, data menunjukkan jurang ketidaksamarataan di Sabah telah menurun daripada indeks 0.396 pada 2019 kepada 0.390 menjelang 2022, mencerminkan agihan ekonomi yang lebih seimbang walaupun nilai KDNK tidak mencatat rekod baharu.
Beliau turut menjelaskan bahawa KDNK lebih dipengaruhi oleh sektor swasta dan jaringan ekonomi Persekutuan, berbanding faktor dalaman negeri seperti dasar atau strategi kerajaan tempatan.
“Oleh itu, lebih wajar untuk menilai kecekapan pentadbiran negeri melalui kutipan hasil dan simpanan negeri yang mampu menunjukkan tahap autonomi kewangan, kecekapan pungutan dan amalan urus tadbir berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, prestasi Kerajaan Negeri dalam menjana hasil juga mencerminkan keupayaan melaksanakan projek pembangunan serta inisiatif kebajikan yang memberi kesan terus kepada kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, isu kadar pengangguran Sabah turut menjadi perhatian apabila Khairuddin membandingkan kadar 7.7% pada suku keempat 2024 dengan 5.4% pada 2019, dan mempersoalkan kenyataan IDS mengenai “trend penurunan bermakna”.
“Parti Warisan hari ini melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan Kerajaan GRS+PH menggunakan institusi awam untuk mempertahankan dasar ekonomi yang gagal dirasai oleh rakyat,” kata Khairuddin lagi.
Sebagai jawapan, Dr. Ramzah menjelaskan bahawa kadar pengangguran perlu dianalisis secara lebih teliti berdasarkan trend dan tandasukat pemula, memandangkan ia adalah isu dinamik yang sentiasa berubah mengikut situasi pasaran buruh dan faktor luar.
Beliau memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan trend pengangguran meningkat dari 5.6% pada 2017 (semasa pentadbiran BN) kepada 5.8% pada 2018 dan 2019 di bawah Warisan, sebelum melonjak ke 8.0% dan 8.2% semasa era pandemik 2020-2021.
Bagaimanapun, selepas pandemik, kadar pengangguran Sabah menunjukkan penurunan beransur-ansur kepada 7.7% pada 2022 dan 7.5% pada 2023, walaupun angka tidak rasmi 2024 mencatatkan 7.9%.
“Ini yang saya maksudkan dengan menganalisis trend. Jangan lihat pada angka mutlak semata-mata. Warisan bermula dengan kadar pengangguran 5.6% dan berakhir dengan 5.8%. GRS++ bermula dengan 8.2% selepas pandemik dan menurun kepada 7.9%,” katanya.
Menurutnya, Sabah berdepan cabaran unik kerana terasing dari ekosistem buruh nasional, menyebabkan pasaran kerja tempatan lebih terdedah kepada kesan faktor global dan domestik.
Dr. Ramzah juga membidas tuduhan bahawa IDS diperalat oleh Kerajaan GRS-PH untuk mempertahankan dasar-dasar tertentu, sebaliknya menegaskan beliau hanya memberi pandangan berdasarkan kapasiti sebagai penyelidik.
“Saya dihubungi wartawan dan diminta memberi reaksi kepada kenyataan Presiden Warisan. Apa yang saya nyatakan adalah analisis data ekonomi, bukan sanggahan politik,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa analisis yang dibentangkannya bersifat objektif dan bebas dari pengaruh politik, serta terbuka kepada perbezaan pandangan asalkan berasaskan data dan hujah yang sahih.
“Kalau Sdra. Khairuddin yakin bahawa analisisnya lebih tepat dan objektif, saya mempelawa beliau atau wakilnya untuk berdebat secara terbuka di hadapan rakyat Sabah. Biar mereka menilai sendiri,” tambah beliau.
Menurut Dr. Ramzah, IDS sebagai institusi penyelidikan berkecuali sentiasa berpandukan prinsip ketelusan, integriti dan ketepatan data dalam setiap kenyataan dan laporan yang dikeluarkan.
Beliau turut mengingatkan bahawa perdebatan berasaskan data dan fakta lebih bermanfaat untuk rakyat, berbanding memperalatkan sentimen politik tanpa memahami konteks sebenar isu ekonomi negeri.
“Sebagai penyelidik, saya diajar untuk meneliti bagaimana setiap pembolehubah ekonomi berfungsi, bukan sekadar membaca angka di permukaan,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menyeru semua pihak untuk mengutamakan perbincangan berfakta dan objektif dalam menilai prestasi pentadbiran negeri, agar perbahasan dasar ekonomi dapat memberi manfaat kepada rakyat.


































