Jainisah ketika menyampaikan ucapan.
KOTA KINABALU : Seramai 38 ahli Komuniti MADANI dari daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang menyertai Program Mini Akademi Asas Penerangan (ASAS) siri pertama bagi Zon Pantai Barat Sabah.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia(JAPEN) Sabah itu bertujuan memperkukuh kemahiran komunikasi bersemuka dan penghasilan kandungan video kreatif dalam kalangan komuniti akar umbi, selaras usaha memperluas penyampaian maklumat kerajaan secara berkesan.
Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata penganjuran program itu merupakan ilham Menteri Komunikasi yang mahu memperkasa Komuniti MADANI sebagai rakan strategik JAPEN dalam menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan secara lebih tersusun di peringkat komuniti.

Pegawai Penerangan bahagian PKPM, Mujahid Halpi ketika menyampaikan teknik asas pengucapan awam kepada ahli-ahli Komuniti MADANI pada Program Mini ASAS Siri 1 bagi zon PBS di Bilik Mesyuarat JAPEN Sabah.
“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai teknik pengucapan awam, tetapi juga penekanan terhadap kemahiran menghasilkan video pendek menggunakan peranti mudah alih untuk platform digital dan media sosial.
“Ini penting kerana masyarakat kini lebih cenderung mendapatkan maklumat melalui media sosial. Oleh itu, kandungan yang dihasilkan perlu menarik dan mudah dikongsi dalam komuniti masing-masing,” katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan penyampaian mesej dalam bahasa tempatan oleh komuniti sendiri membolehkan maklumat lebih mudah difahami serta dekat di hati rakyat, selaras dengan kepelbagaian etnik dan budaya di Sabah.
Jainisah turut berharap program itu dapat meningkatkan keyakinan peserta untuk menjadi penyampai maklumat yang sahih dan relevan mengikut konteks budaya serta bahasa setempat.
“Program ini merupakan kesinambungan siri ASAS yang dimulakan di Zon Pantai Timur di Sandakan pada April lalu, dan kini diperluas ke daerah lain bagi memastikan liputan komunikasi strategik kerajaan lebih menyeluruh dan inklusif,” katanya.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JAPEN Sabah Peter Tong Ah Pin; KPP Bahagian Media Siber JAPEN Sabah Geraldine Voo Yee Wen; Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Penampang Mohd Ishak Awang Besar; PPD Kota Kinabalu Norazean Makbul dan Penolong Pengarah (Cawangan Kempen) PKPM Edi Rizam Kassim.






























