Francis (keenam duduk dari kiri) bergambar bersama-sama ketua jabatan dan pengerusi jawatankuasa kecil Perayaan Pesta Kaamatan Penampang 2025.
PENAMPANG: Orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat dijemput hadir memeriahkan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang yang akan berlangsung pada Ahad, 18 Mei ini di Buhavan Square, Pekan Donggongon.
Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Francis Chong, berkata sambutan kali ini membawa tema “Kaamatan Montok Toinsanan” atau “Kaamatan Untuk Semua” yang mencerminkan semangat perpaduan dan keterangkuman rakyat Sabah.
“MPP menjemput seluruh warga Penampang dan kawasan sekitar untuk sama-sama hadir bagi menyemarakkan lagi sambutan Pesta Kaamatan tahun ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di sini.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Penampang merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan turut disiarkan secara langsung di Facebook rasmi MPP.

Francis Chong
Acara-acara menarik yang menanti pengunjung antaranya adalah pameran perkhidmatan kerajaan, jualan produk pertanian dan perikanan, persembahan kebudayaan, sukan tradisional, persembahan artis tempatan, cabutan bertuah serta kemunculan pemenang Sugandoi Penampang 2025.
Tumpuan utama tentunya terarah kepada Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Daerah Penampang, yang bakal menyaksikan pemilihan ratu budaya untuk mewakili daerah ke peringkat negeri di Hongkod Koisaan.
Sementara itu, Pertandingan Sugandoi Peringkat Daerah Penampang 2025 telah diadakan lebih awal pada 11 Mei bertempat di Msgr. Wachter Hall, Dewan Paroki St. Michael, Penampang, pada pukul 7.30 malam.
Mesyuarat penyelarasan turut dihadiri Timbalan Presiden MPP, Noemi Dyena, Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat Parlimen Penampang, Alvin Lee, Pengerusi Sugandoi Penampang, Miklin Ationg, serta pengerusi jawatankuasa kecil dan ketua jabatan negeri serta Persekutuan.


































