Joniston merasmikan Pesta Kaamatan di Melaka, turut kelihatan Chin (kanan) dan Steve (kiri).
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah yang menetap di luar negeri diseru supaya menjadi duta budaya dalam mempromosikan keindahan dan keunikan Sabah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai membuat seruan ini semasa merasmikan Pesta Kaamatan 2025 anjuran KDCA Melaka di Dewan Boon Leong, SMJK Tinggi Cina Melaka, Melaka.
“Setiap rakyat Sabah boleh memainkan peranan mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pilihan hanya dengan berkongsi kisah, makanan tradisional, pakaian atau tarian dari tanah air kita.
“Setiap kali kita berkongsi sesuatu tentang Sabah, itu merupakan bentuk promosi yang sangat berharga,” katanya.
Beliau menyeru rakyat Sabah di luar negeri agar menghayati semangat “Sabahku, Tanggungjawabku, Kebanggaanku”.
Selaras dengan tema tahun ini “Kaamatan Milik Semua”, Joniston menyambut baik penganjuran sambutan Kaamatan di luar Sabah, termasuk di Melaka.
“Ini membuktikan bahawa budaya dan warisan merupakan jambatan kukuh yang menyatukan masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, Kaamatan bukan sahaja meraikan hasil tuaian yang baik, malah menjadi platform untuk memperkenalkan budaya Sabah kepada masyarakat luar dan menyokong pelancongan domestik.
“Kita juga berharap usaha ini akan menyumbang kepada pengukuhan integrasi dan persefahaman nasional,” katanya lagi.
Sabah mencatat ketibaan 3.14 juta pelancong pada tahun lalu, termasuk lebih 923,000 dalam suku pertama tahun 2025.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Sabah sedang mempergiat usaha mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti, pakej mesra keluarga, serta destinasi luar bandar yang inklusif dan lestari.
“Tumpuan kita kekal pada Budaya, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi — tonggak utama pelancongan Sabah,” kata Joniston.
Cadangan Joniston turut disambut baik oleh Pengerusi KDCA Melaka, Scholistika Chin yang berkata penganjuran sambutan Kaamatan adalah sebahagian daripada komitmen mereka dalam mempromosikan kekayaan warisan budaya Sabah.
Beliau memaklumkan bahawa terdapat komuniti rakyat Sabah yang agak besar di Melaka, dengan lebih 300 individu berdaftar sebagai ahli KDCA Melaka.
Sambutan tersebut menampilkan pertandingan Unduk Ngadau, persembahan kebudayaan tradisional, serta pameran makanan, minuman dan pakaian etnik Sabah.
Mengiringi Joniston ialah Ahli Lembaga Kebudayaan Sabah dan Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun.






























