Azizah Mohd. Dun
KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), Datuk Seri Hajah Azizah Mohd .Dun menyatakan sokongan penuh terhadap seruan terbaharu Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor untuk memperkasakan wanita di Sabah melalui akses yang lebih luas kepada peluang dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik.
Beliau berkata, pemerkasaan wanita bukan sekadar isu kesaksamaan, tetapi merupakan pemacu utama pembangunan mampan di negeri ini.
“Kami menyambut baik seruan Ketua Menteri yang sangat tepat pada masanya dan selari dengan visi IDS untuk memperkukuh kepimpinan wanita di semua peringkat masyarakat. Melabur dalam wanita bermakna melabur untuk masa depan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizah mengulas kenyataan Ketua Menteri yang disampaikan pada majlis angkat sumpah ahli-ahli baharu Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) baru-baru ini.
Beliau berkata, IDS telah mengambil langkah proaktif ke arah pemerkasaan wanita, antaranya melalui penubuhan Jawatankuasa Inisiatif Kepimpinan Wanita (WLIC) pada 10 Julai 2024. Penubuhan WLIC bertujuan memajukan kepimpinan wanita, menyediakan pembangunan profesional sepanjang kerjaya, mengukuhkan penyertaan wanita dalam ekonomi dan keusahawanan serta memberi bimbingan dalam bidang sosioekonomi utama.
Sejak ditubuhkan, WLIC telah menganjurkan beberapa pertemuan berimpak tinggi untuk memperkukuh suara wanita dan memupuk kerjasama rentas sektor. Antara program yang telah dilaksanakan termasuk Sesi Meja Bulat bersama Agensi Kerajaan pada 11 November 2024; Townhall Bajet Wanita Negeri Sabah pada 11 Januari 2025; Sesi Meja Bulat bersama GLC dan sektor swasta pada 28 Februari 2025; dan Sesi Meja Bulat bersama NGO pada 18 Mac 2025.
Platform ini membuka ruang kepada pihak berkepentingan untuk menyumbangkan input strategik kepada dasar utama negeri, termasuk Pelan Induk Kepimpinan Wanita Negeri Sabah yang bakal menjadi asas kepada penubuhan Kementerian Wanita Negeri.
Azizah turut menyatakan keyakinan bahawa WLIC mampu bertindak sebagai mekanisme pemantauan yang berkesan bagi mengukur kemajuan penyertaan wanita dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan.
Selaras dengan Belanjawan Negeri Sabah 2025, IDS bersama rakan strategik, Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), telah melancarkan Program Keusahawanan Wanita Muda: Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) pada 27 Februari 2025. Program ini menyasarkan usahawan wanita muda, terutamanya di kawasan luar bandar, bagi merapatkan jurang penyertaan gender dalam ekonomi dan merangsang pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif.
DAYANG bukan sekadar menawarkan pembiayaan, malah turut menyediakan latihan perniagaan, bimbingan, dan sokongan pemasaran untuk membantu peserta membangunkan perniagaan yang mampan dan berdaya saing. Ia turut merangkumi struktur sokongan selama 18 bulan melalui Majlis Penasihat Keusahawanan yang baharu ditubuhkan.
Di bawah inisiatif ini, IDS bertanggungjawab terhadap penyelidikan, manakala SCC mengurus aspek kewangan dan pembiayaan. Terbaharu, pada 26 April 2025, IDS dan SCC dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort telah menganjurkan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi sebagai pelaksanaan awal program DAYANG di peringkat daerah.
Setakat ini, SCC telah menerima 16 permohonan pembiayaan di bawah program tersebut berjumlah RM425,000, menunjukkan minat tinggi dan keperluan yang mendesak terhadap modal perniagaan dalam kalangan wanita muda.
“IDS komited memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja bersifat inklusif tetapi turut memberi impak langsung kepada kualiti hidup wanita di Sabah,” tambah beliau.
Azizah menegaskan bahawa pemerkasaan wanita merupakan strategi penting dalam pembangunan negeri.
Beliau mengulangi komitmen IDS untuk terus menyokong seruan Ketua Menteri dalam membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif, progresif dan berdaya tahan melalui penyertaan aktif wanita Sabah.
































