Haji Hajiji Haji Noor
KUDAT: Kudat memiliki potensi besar untuk terus berkembang, khususnya dalam sektor Ekonomi Biru, berikutan kedudukannya yang strategik dan berhampiran dengan negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Ekonomi Biru yang dilancarkan tahun lalu dijangka menjadi pemangkin baharu dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negeri.
“Kudat, dengan kemudahan sedia ada termasuk laut dalam dan pelabuhan, amat sesuai untuk pembangunan ini. Begitu juga dengan cadangan Taman Perindustrian Kudat yang akan memfokuskan kepada industri berkaitan makanan laut dan logistik perdagangan, yang dijangka merangsang pembangunan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
“Perkhidmatan feri baharu ke Palawan juga dijangka merancakkan perdagangan, pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, sekali gus mempelbagaikan ekonomi,” katanya ketika merasmikan Galeri Sejarah Hakka dan Mercu Tanda Kapal-Gereja, Lausan di sini, hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Abidin menyempurnakan gimik perasmian Galeri Sejarah Hakka dan Mercu Tanda Kapal-Gereja di Lausan, Kudat.
Hajiji turut memuji Gereja Kristian Basel Malaysia (BCCM) atas kejayaan menyiapkan Mercu Tanda Kapal-Gereja dan Galeri Sejarah Hakka yang mengetengahkan warisan budaya masyarakat Hakka di Sabah, yang mana nenek moyang mereka mula tiba di Kudat pada tahun 1883, lebih seratus tahun lalu.
“Sesungguhnya, kedua-dua mercu tanda ini bukan sahaja pencapaian seni bina dan budaya, malah menjadi simbol warisan, semangat komuniti dan perpaduan.
“Kami menghargai usaha menjadikan tempat ini sebagai kompleks komuniti yang memelihara khazanah warisan, yang akan berfungsi mendidik generasi masa depan tentang asal-usul dan identiti mereka,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan unik adalah langkah yang berpandangan jauh.

“Tarikan budaya dan sejarahnya pasti memikat pelancong dari dalam dan luar negara. Kehadiran pelancong ini bukan sahaja akan meningkatkan profil Kudat, malah memberikan impak ekonomi kepada komuniti setempat—mewujudkan pekerjaan, menggalakkan keusahawanan, dan meningkatkan taraf hidup,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha seumpama itu.
“Kerajaan Negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan serta kesaksamaan dalam membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama.”
Katanya, pada tahun ini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM70 juta kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh dan sekolah swasta bagi memenuhi keperluan mereka.
“Jumlah ini meningkat sebanyak RM13.25 juta berbanding peruntukan tahun 2024 iaitu RM56.75 juta. Kita akan terus membantu demi memastikan perpaduan, keharmonian kaum dan toleransi agama yang kukuh terus terpelihara,” katanya.


































