Hajiji disambut oleh orang ramai setibanya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sungai Sibuga 2025.
SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) berkaitan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17
(PRN17).
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor ketika memaklumkan perkara
itu hari ini bagaimanapun berkata, belum ada tarikh bila perbincangan itu diadakan.
“Kita dalam Kerajaan sekarang, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan mengadakan perbincangan dengan PH,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sungai Sibuga 2025 di Dewan Serbaguna Sri Libaran, di sini, hari ini.
Pengerusi GRS itu ditanya sama ada pemimpin PH sudah mengadakan pertemuan dengan GRS bagi membincangkan soal kerjasama menjelang PRN17.
Hajiji turut mengulangi pendiriannya mengenai siapa yang sepatutnya menawarkan kerjasama dengan gabungan atau parti lain berikutan tindakan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan kerjasama dengan PH Sabah, baru-baru ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada pelajar Maahad Tahfiz pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sungai Sibuga 2025
Katanya, sebagai parti yang menerajui Kerajaan GRS-PH Plus ketika ini, rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu akan ditentukan mereka.
“Kerajaan Negeri adalah GRS-PH Plus, ini jelas tapi dalam politik kita cari satu kebaikan yang boleh menyatupadukan rakyat, kita mahu ada kestabilan politik di Sabah.
“Walau bagaimanapun, pintu kita tidak tutup untuk mereka yang mahu bekerjasama dengan kita.
“Tapi perlu diingat bahawa kerajaan hari ini adalah GRS-PH Plus, jadi kita yang tentukan siapa rakan kita dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Pada akhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis lalu, Hajiji membayangkan bahawa GRS tetap memilih PH sebagai rakan kerjasama walaupun BN Sabah mengumumkan bekerjasama dengan PH.

Hajiji menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam.
Sementara itu, kira-kira 5,000 tetamu hadir pada sambutan Aidilfitri berkenaan yang
turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian serta penyampaian
sumbangan kepada seramai 74 pelajar, guru dan staf Maahad Tahfiz serta anak-anak yatim.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jamri.
Pemimpin Gagasan Rakyat yang turut hadir ialah Setiausaha Agung, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, Ketua Wanita, Datuk Redonah Bahanda, Ketua Beliawanis, Emmie M. Idang, Ahli Majlis Tertinggi parti, Datuk Awang Kadin Tang dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub.
Hajiji turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam di Kampung Kenangan Manis dan menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung
Semawang dan Kampung Jaya Bakti dalam kawasan DUN Gum-Gum.


































