Isnin Aliasnih
KOTA KINABALU: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) memperuntukkan sebanyak RM900,000 tahun ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan parit utama di daerah itu.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, peruntukan tersebut adalah bagi melaksanakan kerja-kerja di bawah projek The Maintenance of Major Drain and Associated Works (Urban Drainage).
“Jumlah peruntukan ini adalah bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan parit utama di kawasan bandar Sandakan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menjawab soalan tambahan berkenaan jumlah peruntukan tahunan daripada Kerajaan Negeri, Isnin menjelaskan, peruntukan yang disalurkan kepada MPS bagi tujuan penyelenggaraan dan pembersihan sistem perparitan adalah melalui peruntukan perbekalan negeri S39.
Katanya, peruntukan itu diagihkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Sabah berdasarkan permohonan masing-masing, dan tiada jumlah khusus yang ditetapkan setiap tahun untuk daerah Sandakan.
“Berdasarkan rekod, jumlah yang telah diperuntukkan kepada MPS melalui peruntukan S39 dari tahun 2020 hingga 2024 adalah sebanyak RM558,000,” katanya.
Tambahnya lagi, kementerian sentiasa komited dalam menyokong usaha PBT mempertingkatkan sistem perparitan demi kesejahteraan rakyat di kawasan pentadbiran masing-masing.


































