Samad Jambri
SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah memberi jaminan bahawa projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.50 Gum-Gum sedang berjalan, dan hanya satu rumah dilaporkan menghadapi isu kelewatan.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri berkata, projek berkenaan sedang berdepan beberapa cabaran yang menyebabkan kelewatan, antaranya isu akses jalan, bencana banjir serta perubahan lokasi pembinaan atas faktor peribadi penerima.
“Sebagai contoh, di Kampung Ulu Dusun, pembinaan jalan sejauh dua kilometer diperlukan untuk menghubungkan tapak projek dengan jalan utama, dan ini mengambil masa untuk disiapkan pihak kontraktor. Di Kampung Sungai Memanjang pula, akses jalan utama sering dinaiki air ketika hujan lebat, menyebabkan pembinaan terpaksa ditangguhkan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Beliau menjawab soalan daripada Arunarnsin Taib (Gum-Gum) yang bertanya apakah tindakan Kerajaan terhadap projek Rumah SMJ yang terbengkalai khususnya di kawasan DUN N.50 GumGum.
Samad turut memaklumkan bahawa lawatan pemantauan telah dilakukan oleh pihak kementerian bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pada 7 April lalu.
“Hasil pemantauan menunjukkan hanya sebuah rumah sahaja yang menghadapi isu kelewatan. Selebihnya sama ada telah siap atau sedang dalam pelaksanaan. Pihak kontraktor yang terlibat telah beri komitmen untuk menyiapkan kesemua rumah yang masih dalam proses,” katanya lagi.
Beliau menambah, kementerian kini mengambil pendekatan lebih proaktif dengan melaksanakan pemantauan berkala setiap tiga hari untuk memastikan projek berjalan lancar dan mengikut jadual.
“Ini juga sebahagian usaha kami untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan projek. Laporan pemantauan akan dikemaskini secara berkala dan tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat isu yang perlu diberi perhatian,” jelasnya.
Katanya lagi, pihak kementerian amat serius dalam memastikan rakyat menerima manfaat penuh daripada projek Rumah Mesra SMJ, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah di luar bandar.






























