Amisah Yassin
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengaktifkan semula Ahli Dewan Belia Sabah (ADBS) dengan penjadualan sidang tahunan yang tetap.
Beliau berkata, hasil perbahasan ADBS perlu dibentangkan secara rasmi dalam Dewan Undangan Negeri setiap tahun dalam bentuk laporan khas untuk diambil tindakan oleh kementerian dan agensi berkaitan.
Amisah turut mencadangkan penubuhan Sabah Youth Policy Action Hub, sebuah sekretariat tetap yang dianggotai oleh wakil kerajaan, wakil ADBS, wakil persatuan belia dan akademik. Badan ini akan bertanggungjawab memantau, melaksanakan dan melaporkan perkembangan pelaksanaan idea-idea yang dicetuskan oleh ADBS.
“Badan ini juga boleh menjadi pusat pembentukan dasar-dasar belia baharu Sabah serta melatih anak muda untuk menjadi pemimpin di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya semasa membahas Ucapan Dasar Kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Beliau turut mengesyorkan agar Kerajaan Negeri memperuntukkan dana khas bagi melaksanakan program latihan kepimpinan, pembangunan kemahiran, simulasi persidangan, penulisan dasar dan pendedahan antarabangsa untuk Ahli Dewan Belia Sabah.
“Langkah-langkah ini bukan sahaja melahirkan pemimpin yang petah bercakap, tetapi juga yang berkualiti, mampu merancang, melaksana dan menilai dasar demi kebaikan negeri dan rakyat Sabah,” ujarnya.
Dalam ucapan itu juga, Amisah menyentuh isu ekonomi global dengan menyelar tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengenakan tarif ke atas beberapa negara awal bulan ini, yang menurutnya mencetuskan ketidaktentuan ekonomi dan tindak balas dalam bentuk ‘Perang Tarif’.
“Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus yang menimbulkan kebimbangan rakyat mengenai kesan berantai yang mungkin berlaku. Walaupun impaknya dikatakan kecil, Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu merangka pelan tindakan untuk mengelakkan kesan buruk terhadap ekonomi tempatan,” katanya.
Menurutnya, tarif tersebut akan menyebabkan harga produk Malaysia meningkat di pasaran Amerika Syarikat, sekaligus mengurangkan permintaan, menjejaskan pengeluaran dan pendapatan syarikat serta membawa kepada pengangguran akibat penutupan kilang.
“Kita tidak mahu krisis ekonomi yang pernah dilalui dahulu berulang. Kerajaan perlu mencari pasaran alternatif selain Amerika Syarikat untuk produk terjejas seperti barangan elektronik dan elektrik,” katanya lagi.
Amisah juga menyarankan kempen memperkasakan produk tempatan dan pembelian barangan buatan Malaysia diperhebatkan agar ia mampu bertahan di pasaran domestik dan negara jiran.
Selain itu, beliau turut mengutarakan isu berlarutan berkaitan pengurusan sisa pepejal dan tapak pelupusan sampah yang semakin membimbangkan.
“Akibat proses perbandaran dan pembangunan pesat, jumlah sampah semakin bertambah setiap hari, manakala ruang di tapak pelupusan pula semakin mengecil dan berisiko penuh dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya, senario itu dapat dilihat di tapak pelupusan Sungai Sibuga, Sandakan, yang apabila penuh, hanya ditutup dan digali lubang baharu. Masalah timbul apabila air larut resapan sampah mencemari sumber air bersih dan berpotensi menyebarkan penyakit.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah serta agensi berkaitan mencari alternatif pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan untuk jangka masa panjang.
Amisah mendedahkan terdapat 19 tapak pelupusan sampah di seluruh negeri yang menelan kos sehingga RM45 juta setahun untuk diuruskan, dan angka itu dijangka terus meningkat selari dengan pertambahan jumlah sampah.
“Hari ini sudah banyak teknologi hijau yang boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan beban Kerajaan dalam menguruskan sisa pepejal. Saya memohon agar Kerajaan Negeri memandang serius isu ini dan menyediakan peruntukan khas sebagai pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan bersama,” katanya.
































