Sebuah jentera bomba dikejarkan ke sebuah kolej swasta di Wisma Green Hall, George Town, Pulau Pinang petang kelmarin selepas bomba menerima laporan mengenai kesan gegaran akibat gempa bumi yang melanda Myanmar dan Thailand sebelum itu.
GEORGE TOWN: Beberapa kawasan di negeri ini dilaporkan turut menerima kesan iaitu gegaran kecil susulan kejadian gempa bumi kuat yang melanda negara Myanmar, petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, antara kawasan itu ialah di Wisma Pantai yang terletak di Jalan Kampung Gajah serta sebuah bangunan lain di Butterworth serta sebuah kolej swasta di Wisma Green Hall di sini.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah ketika dihubungi di sini.
Menurut beliau, setakat petang tadi, pihaknya telah menerima dua laporan mengenai gegaran tersebut yang dilaporkan berlaku pada pukul 2.44 petang dan 3 petang kelmarin.
“Hasil pemantauan yang dilakukan oleh komander operasi bomba, didapati kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan pada bangunan. Hanya gegaran kecil sahaja yang dikesan berlaku setakat ini,” kata beliau.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, satu kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter telah berlaku Myanmar dan Thailand petang kelmarin.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kesan gegaran akibat kejadian itu turut dirasai di beberapa lokasi di negara ini. Bagaimanapun katanya, tiada sebarang ancaman tsunami dilaporkan kesan daripada gegaran berkenaan.






























