Dr. James (empat dari kanan) menerima cenderamata daripada Chin.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) Cawangan Sabah dalam memperkukuhkan hubungan serta kerjasama dengan agensi kerajaan, industri dan organisasi bagi menyediakan penyelesaian kejuruteraan yang berkualiti tinggi dan menepati jadual yang ditetapkan.
Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri, Datuk Dr. James Lim menzahirkan penghargaan ini semasa menerima kunjungan hormat daripada ACEM yang diketuai oleh Pengerusi Cawangan, Datuk Ir. Chin Shu Ying di Pejabat Ketua Menteri, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Pertemuan ini menjadi platform penting untuk bertukar pandangan dan memperkukuh kerjasama dalam bidang kejuruteraan serta tenaga, khususnya dalam konteks pembangunan mampan di negeri ini.
Dalam sesi tersebut, beberapa isu kritikal turut dibincangkan, termasuk peranan jurutera perunding dalam memacu transformasi tenaga bersih, kerjasama teknikal bagi memastikan projek pembangunan negeri mematuhi piawaian kejuruteraan dan kelestarian tertinggi, serta inisiatif inovatif untuk meningkatkan kecekapan tenaga serta integrasi teknologi hijau dalam perancangan infrastruktur.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mempergiatkan kolaborasi antara ACEM dan agensi kerajaan negeri, khususnya dalam perkongsian kepakaran teknikal serta penyelesaian kejuruteraan yang menyokong agenda pembangunan mampan.
Selain itu, kesedaran mengenai amalan terbaik dalam kejuruteraan lestari juga akan terus dipertingkatkan.
Dr. Lim menegaskan bahawa kerjasama erat dengan ACEM akan membawa manfaat jangka panjang kepada negeri ini, khususnya dalam mencapai matlamat pembangunan rendah karbon dan ketahanan tenaga.
Beliau berharap dapat terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi merealisasikan visi bersama.


































