Ketua Kontinjen Negara (CDM), Noor Syahieda Mat Shah (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang simbolik kepada Majlis Penyerahan Bendera buat kontinjen negara yang akan berjuang di Sukan Para Asean Kemboja 2023. (Foto: ihsan Majlis Sukan Negara (MSN))
PETALING JAYA: Malaysia kini selangkah lebih dekat dalam persiapan menganjurkan temasya sukan terbesar di rantau ini apabila Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-15 secara rasmi ditubuhkan, seperti yang diumumkan menerusi kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, penubuhan jawatankuasa ini mendapat kelulusan Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, mesyuarat turut meluluskan pembentukan Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027 bagi memastikan kelancaran penganjuran dua temasya sukan utama ini.
Jawatankuasa Pengelola akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, dan akan dibantu oleh 16 Jawatankuasa Kecil yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan badan sukan bagi memastikan penglibatan menyeluruh semua pemegang taruh sukan negara.
“Sekretariat MASOC yang berperanan melaksanakan keputusan dan hala tuju ditetapkan Jawatankuasa Pengelola pula akan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi yang akan dilantik tidak lama lagi,” kata kenyataan terbabit.
Penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 dijangka bukan sahaja mengangkat martabat sukan negara tetapi juga merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan Malaysia.


































