Anwar Ibrahim
BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak tidak menjadikan masjid sebagai wahana menyebar kebencian dan menanam bibit prasangka sesama umat Islam.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, perbuatan seperti itu sama sekali tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia semakin menular dan keterlaluan serta perlu ditolak oleh umat Islam sendiri.
Justeru, beliau mengajak umat Islam untuk terus menyemarak serta mengimarahkan masjid-masjid kerana institusi tersebut penting dalam aspek pembangunan serta pemberdayaan umat menerusi penganjuran pelbagai aktiviti ilmiah.
“Kita boleh berbeza pendapat, tapi tak perlu cerca dan maki hamun itu semua. Tak juga juga untuk menidakkan (pendapat) orang lain.
“Dengan berbeza pendapat atau disebut ‘ethics of disagreement’ ini, kita akan menjadi lebih beradab dan tidak cepat menjatuhkan (sesuatu) hukum,” katanya berucap sempena Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai di sini, kelmarin.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalannya, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Sempena majlis itu, Anwar turut mengumumkan penyerahan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada pihak masjid untuk kegunaan pusat aktiviti keagamaan dan pembangunan insaniah anak-anak kariah di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Pengerusi Kariah Masjid Jamek Perai, Abdul Wahab Haniff berkata, masjid baharu itu mula didirikan pada 29 Mac 2021 bagi menggantikan masjid lama yang dibina pada tahun 1979 dengan kos sebanyak RM5.5 juta.
“Sebanyak RM3 juta daripada peruntukan untuk membina semula masjid ini diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan, RM1.5 juta daripada Kerajaan Negeri dan baki RM 1 juta lagi daripada sumbangan kariah sendiri,” katanya.




























