Dr. Joachim (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama dengan penduduk kampung Tinongian.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru rakyat, khususnya penduduk di kawasan DUN Kundasang, agar bersatu dan memberikan sokongan penuh kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
“Marilah kita ‘misompuru’ (bersatu). Inilah tujuan utama kita membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebuah gabungan Parti tempatan yang dominan. Pada masa yang sama, kita juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kita mesti memastikan kemenangan GRS kerana gabungan ini mempunyai rekod terbaik dalam pentadbiran. GRS telah membentuk kerajaan yang stabil serta komited dalam memajukan Sabah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Balairaya Kampung Tinongian di sini, kelmarin (17 Mac).

Dr. Joachim (kiri) bergambar bersama dengan yang turut serta dalam kunjungan ke gereja SIB Kg. Kepuakan.
Program ini bertujuan untuk mendengar keluhan serta permasalahan yang dihadapi penduduk kampung. Majlis tersebut dihadiri kira-kira 200 orang dan turut menyaksikan sesi soal jawab antara pemimpin dan rakyat.
Sementara itu, Ketua Kampung Tinongian, Timbalun Natoh mewakili penduduk kampung, menzahirkan penghargaan kepada Dr. Joachim atas kesudiannya meluangkan masa untuk hadir.
“Peluang bersemuka dengan rakyat ini menunjukkan komitmen tinggi Dr. Joachim terhadap masyarakat, meskipun beliau mempunyai jadual tugas yang padat,” katanya.

Dr. Joachim (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Ratimin (kanan) ketika melawat tapak gelanggang terbuka SK Karagasan.
Terdahulu, Dr. Joachim bersama kepimpinan tempatan telah meninjau tapak pembinaan gelanggang terbuka bagi Sekolah Kebangsaan Karagasan serta meninjau pembinaan dewan mini yang bakal dimanfaatkan oleh penduduk kampung.
Selepas itu, Dr. Joachim turut merasmikan Balairaya Kampung Kepuakan yang baharu serta melawat Gereja SIB Kepuakan, yang memerlukan kerja-kerja pembaikan.

Dr. Joachim memalu gong menyempurnakan gimik perasmian balairaya baharu Kg. Kepuakan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang telah bermurah hati menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo; Setiausaha Sulit; Japli Sami; Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kundasang, Dounis Sani; Ketua Daerah DUN Kundasang, OKK Dominic Ghanie; Pemaju Mukim, Ratimin Kukunot; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Jaminus Agang; Ketua Kampung Kepuakan, Thomas Tanburud, serta Pengerusi JKKK Tanjunin Galumbu dan Ahli Dewan Belia Sabah (ADBS) DUN Kundasang, Salbinus Tangkiris.



























