Ismail Sabri Yaakob keluar dari Ibu Pejabat SPRM selepas selesai memberi keterangan hampir lima jam di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil semula Isnin ini untuk direkod keterangan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menangguhkan sesi rakaman keterangan sehingga Isnin ini memandangkan Ismail Sabri dijadual mengikuti program di Bera, Pahang.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Bera itu telah memberi kerjasama kepada pegawai penyiasat kelmarin dan Khamis.
“Saya tidak dapat mendedahkan kandungan keterangannya,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Terdahulu, kenderaan membawa Ismail Sabri dilihat keluar kira-kira pukul 5.42 petang kelmarin sambil diiringi kenderaan pengiring polis.
Bekas Perdana Menteri itu hadir kira-kira pukul 8.46 pagi kelmarin bagi mengikuti proses rakaman keterangan yang memasuki hari kedua.
Ismail Sabri hadir bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Beliau sebelum ini telah mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM sebagai sebahagian daripada proses siasatan yang sedang dijalankan.
Pengisytiharan itu dibuat pada 10 Februari lalu selepas diarahkan oleh suruhanjaya berkenaan.


































