Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Kenyataan Latheefa Koya yang mempertahankan Dato’ Albert Tei menimbulkan persoalan besar mengenai motif sebenar beliau.
Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan dalam satu kenyataan, mempertikaikan sama ada Latheefa Koya masih berpegang pada prinsip hak asasi manusia atau kini lebih cenderung membela taikun kontroversi.
Katanya, Albert Tei bukan sekadar ahli perniagaan biasa, sebaliknya pernah dikaitkan dengan eksploitasi pekerja asing, pemerdagangan manusia, dan ugutan terhadap wartawan. Laporan penyiasatan oleh Tempo dan Malaysiakini pada 2017 mendedahkan bahawa Tei memiliki lapan agensi pengambilan pekerja asing secara haram yang memperdaya ribuan rakyat Indonesia dengan janji gaji lumayan, namun akhirnya dipaksa bekerja dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.
Lebih membimbangkan, tegas Fairuz, wartawan yang cuba membongkar skandal Tei turut menerima ancaman, termasuk tekanan untuk tidak menyiarkan laporan mereka.
“Persoalannya, bagaimana individu yang pernah dikaitkan dengan kes pemerdagangan manusia boleh terlepas daripada hukuman? Pada 1 Julai 2019, Mahkamah Sesyen Semenyih memberikan Tei pelepasan tanpa pembebasan (DNAA), dan sehingga kini, tiada penjelasan kukuh mengapa keputusan itu dibuat,” katanya.
Menurut beliau, tindakan Latheefa Koya yang mempertahankan Tei menimbulkan tanda tanya besar. Jika benar beliau pejuang hak asasi, mengapa tidak mendesak siasatan lanjut terhadap bagaimana DNAA itu diperoleh?
Di Sabah, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah mengambil langkah tegas dengan menolak 21 permohonan lesen mencarigali (Prospecting Licence – PL) yang dikaitkan dengan kartel Tei. Ini, menurut Fairuz, adalah bukti jelas bahawa Sabah tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menekan negeri ini demi kepentingan peribadi.
“Kami tidak akan berdiam diri melihat bagaimana ada pihak luar cuba mempertahankan individu yang sudah terbukti mencemarkan nama baik negara. Sabah bukan tempat untuk perniagaan kotor dan kartel tamak yang mahu memonopoli sumber negeri,” katanya lagi.
Dalam kenyataan tegasnya, Fairuz memberi amaran bahawa rakyat Sabah tidak akan membiarkan mana-mana pihak luar mencetuskan ketidakstabilan di negeri ini demi kepentingan tertentu.
“Jika benar perjuangan ini adalah untuk keadilan, maka carilah keadilan untuk mangsa, bukan untuk mereka yang pernah menindas golongan yang lebih lemah,” tegasnya.


































