KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan kejayaan misi menyelamat seorang wanita hamil yang sedang dalam proses bersalin ketika kejadian tanah runtuh di Jalan Ranau-Tambunan, Kampung Pahu, Tambunan, awal pagi tadi.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Maria Suleiman dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian yang berlaku pada jam 7.26 pagi itu menyebabkan jalan utama terputus, menghalang laluan ambulans dan kenderaan kecemasan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan kesihatan dari Klinik Desa Tontolob, Liawan, Tambunan yang berada berhampiran bertindak segera melakukan penilaian awal dan penstabilan pesakit.
“Pemeriksaan mendapati pesakit berada dalam fasa aktif proses kelahiran dan memerlukan pemindahan segera ke hospital,” katanya.
Dr. Maria berkata, pasukan retriever dari Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Daerah Tambunan segera dikerahkan dengan sebuah ambulans setelah menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan.
Namun, akibat laluan utama yang terhalang, pasukan penyelamat terpaksa mencari laluan alternatif bagi memastikan pesakit dapat dipindahkan dengan segera.

Dengan kerjasama anggota IPD Tambunan, penduduk kampung dan orang awam, pesakit berjaya dipindahkan merentasi kawasan terjejas menggunakan laluan alternatif yang lebih selamat sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
“Sebaik tiba di Hospital Keningau, pesakit segera dimasukkan ke dewan bedah dan menjalani pembedahan kecemasan (Emergency Lower Segment Caesarean Section – EMLSCS) berikutan tanda-tanda bayi lemas dalam kandungan.
“Alhamdulillah, ibu dan bayi berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan,” katanya.
JKNS turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), pasukan perubatan dari Hospital Daerah Tambunan, Hospital Keningau, dan Klinik Desa Tontolob.
“Penghargaan khas juga diberikan kepada orang awam dan penduduk setempat yang membantu dalam proses pemindahan. Kejayaan misi ini membuktikan kepentingan kerjasama dan kesiapsiagaan pasukan kecemasan dalam menghadapi situasi luar jangka,” kata Dr. Maria.
Beliau menegaskan bahawa JKNS akan terus komited dalam memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pasukan kesihatan dalam menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan.


































