PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil beberapa individu termasuk kenamaan lain dalam masa terdekat ini susulan penahanan empat individu termasuk dua pegawai kanan Perdana Menteri ke-9, minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil beberapa individu lain sebagai saksi dalam kes itu.
Katanya, siasatan kes berkenaan masih dijalankan pegawai penyiasat biarpun beberapa penahanan sudah dilakukan SPRM setakat ini.
“Ya, pastinya akan ada beberapa individu akan dipanggil kerana siasatan masih berjalan.
“Saksi-saksi ini akan dipanggil tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas siapa saksi kenamaan yang akan dipanggil dalam siasatan berkenaan.
Turut ditanya mengenai sejumlah rampasan wang tunai yang dilakukan oleh pegawai SPRM seperti yang didakwa di media sosial sejak beberapa hari lalu namun beliau enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan wang tunai lebih RM100 juta telah disita disyaki ada kaitan dengan dana politik dalam serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Wang berkenaan ditemukan dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di kediaman itu.
Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.
Serbuan terbabit dijalankan SPRM susulan siasatan berterusan dan pemantauan selama beberaa bulan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan.
Penyiasat kini sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan kaitan dengan dana politik.
Media semalam, dua bergelar Datuk adalah di antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri untuk membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah serta pengubahan wang haram.
Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas terbabit turut ditahan oleh agensi antirasuah itu.
Penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Turut difahamkan, beberapa kes sedang disiasat oleh SPRM ketika ini dan antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Tiga daripada mereka direman sehingga esok manakala seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang Datuk dibebaskan semalam.
Pada Januari 2024, media melaporkan bahawa SPRM menjalankan siasatan berhubung isu penggunaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
SPRM ketika itu juga sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi meneliti bagaimana kelulusan serta perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti dibuat.


































