WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertindak memecat ratusan kakitangan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), mengganggu tenaga kerja sepanjang minggu perjalanan udara yang sibuk.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas perlanggaran maut di udara pada Januari di Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan di Washington.
Presiden Kesatuan Pakar Keselamatan Penerbangan Profesional, David Spero dalam satu kenyataan berkata, kakitangan percubaan menjadi sasaran dalam emel lewat malam Jumaat lalu yang memberitahu mereka telah dipecat.
“Pekerja yang terjejas termasuk kakitangan penyelenggaraan radar FAA, bantuan pendaratan dan navigasi.
“Emel mula dihantar selepas pukul 7 malam pada hari Jumaat dan berterusan hingga larut malam. Lebih ramai mungkin akan diberitahu sepanjang hujung minggu atau dihalang daripada memasuki bangunan FAA bermula hari ini.
“Para pekerja dipecat tanpa sebab, bukan berdasarkan prestasi atau kelakuan. Emel tersebut juga dihantar dari alamat Microsoft dan bukannya alamat emel rasmi kerajaan,” katanya.
Pemecatan itu berlaku ketika FAA berdepan masalah kekurangan pegawai kawalan trafik udara.
Pegawai persekutuan telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai sistem kawalan trafik udara yang terlalu terbeban, termasuk kekurangan tenaga kerja selepas beberapa insiden perlanggaran antara pesawat di lapangan terbang AS.
































