TORONTO: Sebuah pesawat Delta Air Lines terbalik dan terbakar ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto dalam keadaan cuaca berangin selepas ribut salji, mengakibatkan 18 penumpang cedera, dengan tiga dilaporkan parah.
Menurut Utusan Malaysia, pesawat jenis CRJ900 yang dikendalikan oleh anak syarikat Delta, Endeavor Air, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minneapolis-St. Paul membawa 76 penumpang serta empat anak kapal.
Syarikat penerbangan Delta mengesahkan kejadian itu sebagai insiden melibatkan satu pesawat sahaja.
Pihak berkuasa Kanada memaklumkan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas, yang masih belum diketahui.
Menurut seorang penumpang, John Nelson, pesawat berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda masalah sebelum mendarat.
“Kami mendarat dalam keadaan condong ke sisi sebelum terbalik. Beberapa penumpang seperti tergantung dan memerlukan bantuan sementara yang lain dapat turun sendiri,” katanya kepada CNN.
Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang berdepan angin kencang dan suhu sejuk melampau selepas ribut salji hujung minggu menyebabkan lebih 22 sentimeter salji menutupi kawasan lapangan terbang.
Pesawat Delta itu mendarat pada pukul 2.13 petang (waktu tempatan) selepas penerbangan selama 86 minit, sebelum terhenti di persimpangan landasan 23 dan 15.
Presiden Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto, Deborah Flint, berkata, kecekapan pasukan penyelamat memainkan peranan besar dalam mengurangkan risiko dalam insiden ini.
Perkhidmatan paramedik memberitahu AFP, 15 cedera, termasuk tiga parah, membabitkan seorang kanak-kanak, seorang lelaki dalam lingkungan usia 60-an dan seorang wanita lingkungan 40-an.
Semua yang cedera, termasuk yang mengalami kecederaan ringan, dibawa ke hospital berdekatan, sama ada dengan ambulans atau helikopter.
Lapangan terbang Antarabangsa Toronto telah ditutup selama lebih dari dua jam selepas kejadian sebelum penerbangan berlepas dan ketibaan disambung semula.
Insiden itu turut menyebabkan gangguan jadual penerbangan dan pesawat dialihkan ke lapangan terbang lain termasuk Montreal-Trudeau.
Pihak Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada (TSB) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) telah menghantar pasukan penyiasat untuk menyiasat punca kejadian.
Kejadian ini berlaku selepas beberapa nahas udara di Amerika Utara, termasuk perlanggaran sebuah helikopter tentera dengan pesawat CRJ-700 di Washington yang meragut 67 nyawa serta nahas pesawat perubatan di Philadelphia dan pesawat penumpang di Alaska yang mengorbankan 17 nyawa.
































