Elon Musk
WASHINGTON: Jutawan teknologi, Elon Musk memberi amaran Amerika Syarikat (AS) bakal berdepan muflis sekiranya tiada langkah tegas diambil untuk memotong perbelanjaan kerajaan Persekutuan.
Menurut Utusan Malaysia, Musk yang dilantik Presiden AS, Donald Trump untuk mengetuai usaha pemotongan kos Persekutuan melalui penubuhan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), menyatakan perkara itu ketika menghadiri satu sesi di Rumah Putih, semalam.
Sebelum ini, Presiden AS itu mengeluarkan beberapa arahan drastik bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Musk secara khusus merujuk kepada defisit belanjawan negara yang mencecah AS$1.8 trilion (RM8.5 trilion) pada tahun fiskal lalu, sambil menegaskan pengurangan perbelanjaan kerajaan bukan satu pilihan, sebaliknya keperluan.
“Tanpa langkah pemotongan ini, Amerika Syarikat akan berdepan kebankrapan,” katanya.
Namun, kenyataan tersebut hadir ketika pentadbiran Trump berhadapan cabaran daripada mahkamah AS, apabila beberapa hakim persekutuan mempersoalkan kesahihan langkah pemotongan kos yang dilaksanakan Rumah Putih.
Rancangan besar Trump yang menyebabkan beberapa agensi persekutuan ditutup dan kakitangan dihantar pulang mencetuskan siri pertempuran undang-undang di seluruh negara.
Beberapa saman difailkan untuk menghentikan apa yang disifat pembangkang sebagai cubaan merampas kuasa secara haram.
Ditanya mengenai potensi konflik kepentingan, Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla, di mana kedua-duanya mempunyai kontrak besar dengan kerajaan AS, berkata beliau berusaha untuk memastikan ketelusan dalam segala tindakan.
Pasukan reformasi DOGE turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengkritik selepas memperoleh akses kepada data peribadi dan kewangan berjuta-juta rakyat AS melalui Jabatan Perbendaharaan, satu tindakan yang dianggap melanggar privasi individu.
































