Pemain lelaki dan wanita kebangsaan memperagakan jersi baharu pada majlis menandatangani perjanjian antara PUMA Malaysia dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Subang Jaya, semalam.
PETALING JAYA: Jenama sukan terkemuka dunia, PUMA dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam melancarkan jersi baharu skuad Harimau Malaya sebagai simbolik bermulanya era baharu bola sepak negara.
Menurut Utusan Malaysia, jersi rasmi Harimau Malaya, seperti kebiasaan direka dengan warna kebangsaan ikonik pasukan kebangsaan iaitu kuning dan hitam, melambangkan kebanggaan dan daya tahan.
Ia tampil dengan teknologi ULTRAWEAVE revolusioner PUMA, yang direka bentuk untuk memberikan keselesaan ringan, fleksibiliti dan ketahanan, membolehkan pemain beraksi pada tahap tertinggi.
Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin berkata, kerjasama tersebut menandakan satu lembaran baharu dan menarik untuk bola sepak Malaysia pada masa akan datang.
“Kepakaran PUMA dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi tetapi juga membantu memupuk hubungan yang lebih mendalam di antara pasukan dan para penyokong.
“Bersama-sama, kita menyasarkan untuk mencipta budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia, memberi inspirasi kepada kedua-dua pemain dan peminat sambil kita meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Jersi edisi terhad yang berharga RM319 itu kini boleh dibeli di kedai PUMA terpilih di seluruh negara, menawarkan peluang kepada peminat untuk mempamerkan sokongan mereka terhadap Harimau Malaya dan jenama PUMA.

































