BANGKOK: Pencemaran udara yang teruk memaksa hampir 200 sekolah di Bangkok ditutup kelmarin ketika pegawai menggesa orang ramai bekerja dari rumah dan mengehadkan kenderaan berat di bandar itu.
Menurut Utusan Malaysia, pencemaran udara bermusim telah lama melanda Thailand seperti kebanyakan negara di rantau ini kerana udara musim sejuk bergabung dengan asap daripada pembakaran tunggul tanaman dan kenderaan.
Menjelang pagi Khamis, ibu kota Thailand disenaraikan sebagai bandar raya keenam paling tercemar di dunia, menurut IQAir.
Tahap pencemar PM2.5 mikrozarah penyebab kanser dan cukup kecil untuk memasuki aliran darah melalui paru-paru mencecah 122 mikrogram setiap meter padu.
Awal minggu ini, pihak berkuasa Bangkok berkata, sekolah di kawasan dengan tahap PM2.5 tinggi boleh memilih untuk ditutup.
Menjelang pagi kelmarin, 194 daripada 437 sekolah di bawah kuasa Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok (BMA) telah menutup pintu mereka, menjejaskan beribu-ribu pelajar.
Kemudahan itu terdiri daripada tadika hingga sekolah menengah dan penutupan berlangsung dari sehari hingga seminggu.
Angka itu adalah jumlah penutupan sekolah tertinggi sejak 2020, apabila semua sekolah di bawah kuasa BMA ditutup akibat pencemaran udara.
Awal minggu ini, pihak berkuasa menggalakkan orang ramai bekerja dari rumah, tetapi skim itu adalah secara sukarela dan hanya mempunyai 100,000 peserta berdaftar di bandar yang mempunyai kira-kira 10 juta orang.
Pegawai juga mengehadkan akses untuk trak enam roda di beberapa bahagian ibu negara sehingga lewat Jumaat.
Kerajaan telah mengumumkan insentif untuk menghentikan pembakaran tunggul tanaman dan juga sedang mencuba kaedah baru untuk menangani pencemaran udara dengan menyembur air sejuk atau ais kering ke udara di atas asap.
Tetapi langkah itu hanya memberi sedikit impak setakat ini, dan ahli politik pembangkang menuduh Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang kini berada di Davos untuk Forum Ekonomi Dunia, gagal mengambil serius isu itu.
“Sementara Perdana Menteri menghirup udara segar di Switzerland ketika cuba menarik lebih banyak pelaburan ke Thailand, berjuta-juta rakyat negara ini menyedut udara tercemar ke dalam paru-paru mereka,” kata Pemimpin Parti Rakyat, Natthaphong Ruengpanyawut dalam catatan di Facebook.


































