Robot yang diilhamkan daripada kenderaan robotik (rover) yang sering dihantar ke bulan bakal menjadi penganti kepada tenaga kerja petani tua di Jepun.
Menurut Utusan Malaysia, penduduk Jepun adalah yang tertua di dunia, dengan satu pertiga berumur lebih 65 tahun berikutan gabungan kadar kesuburan rendah dan jangka hayat yang tinggi.
Situasi ini memberi kesan langsung ke atas populasi umur bekerja terutamanya dalam kalangan penduduk antara 15 hingga 64 tahun yang diunjurkan menyusut sebanyak 30 juta orang menjelang 2070.
Industri pertanian turut terjejas dengan bilangan pekerja dalam bidang ini berkurangan lebih separuh antara 2000 dan 2023 di mana mereka yang berumur di bawah 60 tahun hanya membentuk kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhannya.
Untuk memerangi kekurangan ini, bersama dengan pendirian yang lebih ‘santai’ mengenai dasar imigresen dan kesuburan, Jepun semakin cenderung memilih robot sebagai alternatif menambah tenaga kerja.
Terinspirasi dengan keadaan itu, pakar teknologi, Tamir Blum mengasaskan Kisui Tech semasa menyambung pengajian pada 2021.
Syarikat itu menggunakan teknologi daripada penerokaan angkasa lepas untuk membina robot pertanian yang dibantu kecerdasan buatan (AI).
“Sejak 20 tahun lalu, lebih 50 peratus daripada petani telah bersara, bermakna semakin banyak beban diserahkan kepada hanya segelintir petani yang tinggal untuk terus menghasilkan bekalan makanan yang stabil,” kata Blum.

Robot separa autonomi ciptaan Blum dipanggil Adam mampu membawa hasil yang dipetik merentasi bentuk muka bumi yang sukar.
Robot seakan rover itu juga mampu menyelesaikan kerja-kerja memotong rumput dan menyembur ladang dengan racun perosak.
Blum, seorang warga Israel-Amerika yang pertama kali melawat Jepun pada 2015, kembali ke negara itu pada 2018 untuk mendapatkan ijazah kedoktoran di mana beliau meneliti rover bulan dan keupayaannya menavigasi keadaan tanah tidak rata.
“Semasa program PhD itu, saya banyak mengembara di sekitar kawasan luar bandar Jepun. Di sini, anda boleh melihat sendiri betapa sukarnya masalah kekurangan buruh.
“Saya lihat banyak rumah terbiar dengan para petani jelas semakin tua. Saya juga menyedari potensi besar untuk jenis teknologi robotik ini diaplikasikan, terutamanya untuk kebun yang sangat tidak rata, sama seperti apa yang saya kaji untuk robotik angkasa,” jelasnya.
Kisui Tech bekerjasama dengan Jabatan Pertanian di Universiti Chiba di Tokyo bagi membangunkan dua model Adam versi bersaiz besar dan mini dan mengujinya dalam senario kehidupan sebenar di ladang sekitar Jepun.
Adam yang lebih besar adalah 70 sentimeter (cm) tinggi dan 188 cm panjang yang dikhaskan untuk tanaman epal dan pir kerana saiz traknya sesuai membawa banyak hasil buah atau baja.
Adam yang lebih kecil, kira-kira satu pertiga daripada saiz asalnya, menyasarkan ladang anggur yang ditanam dalam barisan lebih sempit.
Di samping robot, Kisui juga membangunkan platform dalam talian dipanggil Newton yang memberi petani gambaran masa nyata tentang tanaman, penyakit dan pengurusan ladang.
Adam dijangka dijual sekitar AS$20,000 (RM90,035) di pasaran antarabangsa.
































