ISTANBUL: Insiden kebakaran yang melanda sebuah resort di pusat peranginan ski popular Kartalkaya di barat laut Turkiye awal pagi ini mengorbankan 10 nyawa dan menyebabkan 32 lagi cedera.
Menurut Utusan Malaysia, kebakaran di Resort Grand Kartal setinggi 12 tingkat yang mempunyai pelapisan kayu itu dilaporkan tercetus kira-kira pukul 3.27 pagi (waktu tempatan).
Penyiar swasta NTV berkata, tiga orang maut selepas terjun dari tingkap hotel.
Resort itu terletak di atas banjaran gunung bersalji kira-kira 170 kilometer di barat laut ibu kota Ankara.
Kebakaran dipercayai bermula di bahagian restoran pada tengah malam dan merebak dengan cepat, namun punca sebenar yang mencetus insiden itu masih disiasat.
Rakaman televisyen menunjukkan kepulan besar asap naik ke langit dengan gunung bersalji di belakang hotel.
Sebahagian daripada api kembali ke tebing, menyukarkan anggota bomba untuk menangani kebakaran.
Media tempatan berkata, seramai 237 orang menginap di hotel itu, di mana kadar penghunian adalah antara 80 dan 90 peratus kerana cuti sekolah.
Mereka yang dipindahkan ditempatkan semula di hotel berdekatan.
Menteri Kehakiman, Yilmaz Tunc berkata, enam pendakwa raya diarah untuk menyiasat kebakaran itu.
































