VILNIUS: Penerbangan Ryanair terpaksa membatalkan pendaratan selepas menghadapi masalah dengan sistem GPS ketika menghampiri sempadan Russia.
Menurut Utusan Malaysia, pesawat Boeing 737 MAX 8-200 yang berlepas dari Lapangan Terbang Luton, London, dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Vilnius, Lithuania.
Bagaimanapun, ketika percubaan mendarat, juruterbang terpaksa membuat keputusan mengejut untuk mengubah haluan ke Warsaw, Poland.
Menurut pegawai navigasi udara, pesawat tersebut mengalami gangguan isyarat GPS sehingga menyebabkan perlu mengubah laluan dengan segera.
Pesawat yang sudah turun ke ketinggian kira-kira 259 meter, kemudian terpaksa naik semula dan menuju ke Warsaw, sejauh kira-kira 400 kilometer.
Jurucakap agensi kawalan trafik udara Lithuania, Oro navigacija memaklumkan, keputusan untuk mengubah laluan dibuat oleh juruterbang, meskipun penerbangan lain mendarat seperti biasa di Lapangan Terbang Vilnius.
Susulan itu, Menteri Pertahanan Lithuania, Dovile Sakaliene mengumumkan akan menyiasat insiden tersebut.
Kejadian berlaku dalam wilayah di mana Estonia dan Finland tahun lalu menuduh Russia memasang peralatan yang menganggu peranti navigasi GPS.
Moscow menafikan dakwaan itu, tetapi isu GPS masih menjejaskan Eropah timur di kawasan berhampiran sempadan NATO dengan Russia.
Tahun lalu, Lapangan Terbang Tartu, lapangan terbang kedua terbesar di Estonia, terpaksa menghentikan semua penerbangan selama sebulan akibat masalah sama, yang disifatkan sangat berbahaya, dan gangguan itu turut menyebabkan dua penerbangan Finnair berpatah balik ke Helsinki.
Insiden gangguan GPS menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan negara-negara Timur Eropah, khususnya yang bersempadan dengan Russia.
































