Donald Trump memberikan ucaptama pada hari ketiga persidangan Bitcoin 204 di Music City Center di Nashville, Tennessee, pada 27 Julai 2024.
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan mata wang kriptonya sendiri yang pantas melonjak dalam permodalan pasaran kepada beberapa bilion dolar.
Menurut Utusan Malaysia, pelancaran syiling meme, $Trump dibuat menjelang peralihan jawatan beliau sebagai Presiden ke-47 AS.
Usaha itu diselaraskan oleh CIC Digital LLC iaitu sebuah anak syarikat kepada Pertubuhan Trump yang sebelum ini menjual kasut dan wangian berjenama pemimpin tersebut.
Syiling meme digunakan untuk membina populariti bagi trend atau gerakan internet yang tular, tetapi tidak mempunyai nilai intrinsik dan merupakan pelaburan yang sangat tidak stabil.
Menjelang petang kelmarin, beberapa jam selepas pelancarannya, permodalan pasaran untuk $Trump mencapai hampir AS$5.5 bilion (RM24.7 bilion), menurut CoinMarketCap.com.
CIC Digital LLC dan Fight Fight Fight LLC, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Delaware awal bulan ini, memiliki 80 peratus daripada token itu.
Ia masih tidak jelas berapa banyak wang mungkin diperoleh Trump daripada usaha tersebut.
“Meme Trump Rasmi baharu saya di sini! Sudah tiba masanya untuk meraikan semua yang kita perjuangkan: Menang!,” tulis Trump di platform media sosialnya ketika mengumumkan syiling meme itu pada Jumaat.
Kira-kira 200 juta token digital dikeluarkan dan 800 juta lagi akan dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata laman web syiling itu.
Pengkritik menuduh Trump mengambil kesempatan daripada jawatan presiden.
“Trump yang memiliki 80 peratus saham token melancarkan syiling beberapa jam sebelum pelantikan adalah tindakan pemangsa dan ramai yang mungkin akan terjejas,” kata seorang kapitalis kripto, Nick Tomaino dalam hantaran di media sosial.
Token digital seperti ini sering menjadi tumpuan spekulator yang memanfaatkan trend popular untuk meningkatkan nilai sebelum menjual pada puncak pasaran, menyebabkan pembeli yang lewat menanggung kerugian apabila harga merudum.
































