Anggota bomba meninjau sebuah kereta dan rumah yang musnah dalam kebakaran Palisades di kejiranan Pacific Palisades, di Los Angeles, California pada Rabu lalu.
LOS ANGELES: Puluhan ribu penduduk Los Angeles yang terpaksa berpindah akibat kebakaran dahsyat, masih tidak dibenarkan pulang ke kediaman mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu.
Menurut Utusan Malaysia, larangan itu berikutan kebimbangan terhadap risiko keselamatan, termasuk renjatan elektrik, tanah runtuh dan ancaman kepada bahan toksik.
Kekecewaan semakin memuncak dalam kalangan mangsa, yang marah dengan peraturan menghalang mereka pulang ke rumah, walaupun bangunan itu terselamat daripada kebakaran tersebut.
Sheriff Daerah Los Angeles, Robert Luna berkata, keadaan ketika ini terlalu bahaya ekoran kawasan seluas 16,000 hektar hangus akibat dua kebakaran dahsyat.
“Talian elektrik, gas dan kumbahan musnah, terdapat sisa toksik di mana-mana dan ancaman tanah runtuh atau banjir lumpur yang semakin meningkat.
“Ia akan mengambil masa. Sekurang-kurangnya seminggu lagi dan itu hanya anggaran, tetapi saya percaya mungkin mengambil masa lebih lama,” katanya dalam satu sidang media.
Sekurang-kurangnya 24 orang disahkan maut dalam kebakaran yang didorong angin kencang, melanda bandar Altadena dan kawasan mewah Pacific Palisades.
Luna berkata, pasukan penyelamat masih mencari mangsa di bawah runtuhan, dengan jumlah kematian dijangka meningkat.
Sementara itu, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) memulakan pemeriksaan untuk mengeluarkan racun perosak, bahan api dan bateri litium dari runtuhan sebelum pembersihan serpihan dijalankan.
Pengarah Kerja Raya Daerah Los Angeles, Mark Pestrella memberi amaran struktur yang tidak terjejas boleh dilanda tanah runtuh dan hujan lebat akan mewujudkan aliran serpihan berbahaya.
“Kedua-dua kawasan mengalami kerosakan kawasan tadahan air.
“Sekiranya kami mengalami hujan lebat, kami menjangkakan semua kawasan jalan dan komuniti di sekeliling akan terjejas oleh aliran serpihan yang boleh membahayakan kesihatan manusia,” katanya.
Batalion dari seluruh AS disokong oleh krew banduan bersama anggota bomba bertungkus-lumus untuk membina penghadang bagi mengelakkan kebakaran merebak.
Jacob Castro, yang dipenjarakan selama 29 tahun atas jenayahnya, bersyukur kerana diberi peluang untuk membantu dan menebus kesalahannya kepada masyarakat.
“Ia adalah perkara pertama yang saya lakukan dalam hidup saya yang saya banggakan. Saya suka melakukan ini, membantu masyarakat dengan menebus keputusan buruk yang pernah saya lakukan. Ia adalah peluang untuk menebus diri saya,” katanya.
































