Razarudin Husain memeriksa perbarisan pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, semalam.
PETALING JAYA: Pegawai polis yang indeks jisim badan (BMI) melebihi 28 tidak akan dinaikkan pangkat dalam memastikan kesihatan mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, syarat tambahan itu yang ditetapkan dalam pemberian pemangkuan jawatan dan kenaikan pangkat adalah selaras dengan Arahan Ketua Polis Negara No. 202 Dasar Trim and Fit yang berkehendakkan BMI berada pada paras kurang daripada 28.
“Inisiatif tersebut penting bagi memastikan kesihatan serta keterampilan Pegawai Polis sekali gus melonjakkan kemampuan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.
Menurutnya, proses pemangkuan pangkat juga dipertingkatkan menerusi pelaksanaan Penilaian e-Kursus dan Penilaian Kompetensi Atas Talian (PeKAT) yang bermula tahun ini.
Katanya, ia bertujuan mengekang isu pilih kasih, tohmahan dan memastikan pemilihan calon yang sesuai, kompeten serta berkelayakan.
“Pada tahun ini, pelaksanaan dasar pemangkuan pangkat Asisten Superintendan (ASP) ke Deputi Superintendan (DSP) sedang dilaksanakan bagi memenuhi 254 kekosongan perjawatan DSP,” ujarnya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, proses pemangkuan pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diperkukuhkan agar lebih telus, adil dan memberi peluang sama rata kepada setiap yang berkelayakan.
“Arahan Ketua Polis Negara No. 203 Dasar Pemangkuan Pangkat bagi Pegawai Kanan PDRM telah diperkenalkan bersama pembinaan Sistem Pembangunan Sumber Manusia yang lebih efisien,” ujarnya.
Sementara itu katanya, PDRM tidak boleh sentiasa berada dalam zon selesa, sebaliknya perlu cakna terhadap dasar dan perubahan seiring kerajaan semasa.
“Setiap warga PDRM mempunyai peranan dan tanggungjawab bagi mengangkat martabat serta menyerlahkan imej pasukan ke arah agensi penguat kuasa yang terbilang,” katanya.






























