PENAMPANG: Pemangku Ketua Wanita Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), Josephine Liew yang juga Ketua Wiranita N.39 Tambunan, menegaskan bahawa kerjasama berpasukan dan komitmen setiap ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) adalah kunci utama dalam memastikan perjuangan parti kekal relevan dan berkesan.
Beliau berucap pada Mesyuarat Exco Wiranita StarSabah kali pertama bagi tahun 2025 yang diadakan di Pejabat StarSabah, Sokid Villa, pada 11 Januari.
Liew turut meluahkan penghargaan kepada semua ahli Exco yang hadir dalam mesyuarat tersebut.
“Kehadiran dan kebersamaan Exco pada kali ini diharap dapat mendalamkan kesedaran, membangkitkan semangat dan menyemarakkan kegigihan untuk meneruskan perjuangan parti,” katanya.
Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai program strategik yang dirancang untuk memperkukuh dan memperkasakan lagi perjuangan StarSabah. Antara fokus utama adalah pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang dapat menggalakkan penyertaan ahli dan masyarakat dalam menyokong visi serta misi parti.
Sebagai tanda keakraban dan semangat kebersamaan, ahli Exco turut mengadakan sesi “Exchange Gift” di awal tahun 2025 selepas mesyuarat selesai.






























