MANCHESTER: Seorang jururawat wanita kini bertarung nyawa selepas ditikam oleh seorang pesakit yang dipercayai berang kerana terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Utusan Malaysia, serangan kejam itu berlaku di unit kecemasan dan kemalangan Hospital Royal Oldham pada pukul 11.30 malam waktu tempatan, Sabtu lalu.
Mangsa yang berusia lingkungan 50-an, mengalami kecederaan parah yang dikatakan boleh mengubah hidupnya, menurut pihak polis.
Polis Greater Manchester memaklumkan seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan di tempat kejadian atas tuduhan cubaan membunuh.
Seorang jururawat di hospital tersebut berkata, insiden bermula selepas berlaku pertengkaran antara pesakit dan kakitangan hospital.
“Pesakit itu kelihatan marah kerana terpaksa menunggu lama untuk dilayan. Ia amat menakutkan,” katanya.
Ketua Pengarah Kesatuan Kolej Kejururawatan (RCN), Prof. Nicola Ranger mengecam keras serangan tersebut dan menggesa supaya pesalah menerima hukuman setimpal.
“Serangan terhadap jururawat ini amat mengejutkan. Jururawat pergi bekerja untuk menjaga orang lain dan berhak melakukannya tanpa rasa takut terhadap keganasan.
“Majikan bertanggungjawab menjaga keselamatan pekerja dan pihak berkuasa perlu memastikan pelaku dihukum dengan setimpal,” katanya.
Pengarah Kejururawatan Northern Care Alliance NHS Foundation Trust, Heather Caudle yang menguruskan hospital tersebut, turut menyatakan rasa terkejut dan sedih dengan kejadian itu.
“Kami fokus memberi sokongan kepada mangsa dan keluarganya, serta kepada rakan-rakan sekerja dan pesakit yang turut terkesan,” katanya.
Polis juga mengesahkan tiada ancaman kepada orang awam dan meningkatkan kehadiran anggota keselamatan di sekitar hospital untuk memberikan jaminan keselamatan kepada semua pihak.
Pihak hospital pula menegaskan semua perkhidmatan di Hospital Royal Oldham beroperasi seperti biasa.


























