MICHIGAN: Misteri kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bertemu rakannya di sebuah bar hampir sedekad lalu, akhirnya terungkai melalui imej Google Maps.
Menurut Utusan Malaysia, ini selepas mayat David Lee Niles ditemukan dalam keadaan tragis di dalam sebuah kolam berhampiran Bar Jake’s di Perbandaran Byron, Michigan, setelah dilaporkan hilang hampir sedekad.
Keluarga David memerlukan sembilan tahun untuk mendapat petunjuk mengenai kehilangannya, yang ketika itu bergelut melawan kanser dan kemurungan.
Polis menyiasat kes kehilangan tersebut, namun tidak menemukan sebarang petunjuk.
Pada 2011, dengan harapan yang semakin pudar, keluarga David menyiarkan pemberitahuan kematian dalam talian.
“David Lee Niles, 72, dari Wyoming meninggal dunia dan hanya Tuhan yang tahu masa dan tempatnya,” kata obituari tersebut.
Penghormatan itu turut menyebut bahawa satu upacara peringatan ringkas akan diadakan di Gereja Faith Reformed diikuti dengan penghormatan daripada Pengawal Kehormatan Veteran Kent County.
Keluarga David meneruskan kehidupan mereka sehingga Google Maps memberikan petunjuk kepada misteri itu pada November 2015.
Seorang lelaki yang sedang menghias pokok Krismas berhampiran pub tempat David hilang, menyedari sesuatu mencurigakan seperti sebuah kereta dari dalam kolam berdekatan.
Penyiasat kemudian memeriksa Google Maps, yang jelas kelihatan bentuk kereta, dan imej satelit itu sudah ada di Google selama bertahun-tahun.
Satu pasukan penyelam dihantar ke lokasi dan berjaya mengeluarkan bangkai kenderaan tersebut, yang turut menemukan rangka David serta dompetnya di dalam kereta berkenaan.
Bagaimanapun, misteri mengenai punca kejadian masih menjadi persoalan, namun keluarga David tetap bersyukur kerana jasad lelaki itu akhirnya ditemukan.
































