BEIJING: Wabak virus ‘human metapneumovirus’ (HMPV) di China menyebabkan kesesakan teruk di hospital, dengan pusat perubatan di Wuhan dilaporkan menerima sehingga 2,000 kanak-kanak setiap hari.
Menurut Utusan Malaysia, China kini berdepan wabak virus itu, dengan kemudahan perubatan dilaporkan hampir lumpuh, seperti situasi wabak Covid-19 pada 2019.
Walaupun negara itu dikatakan sedang ‘meremehkan’ situasi semasa, rakaman baharu yang muncul dari Wuhan – wilayah yang menjadi pusat wabak Covid-19 – menunjukkan ibu bapa terdesak mendapatkan rawatan untuk anak mereka.
Dalam bilik menunggu yang sesak, pesakit jelas kelihatan tidak sihat sambil cuba mendapatkan katil yang semuanya penuh.
Dalam rakaman tersebut, seorang penjaga berkongsi pengalaman mencemaskan ketika cuba mendapat rawatan untuk anaknya, dengan nombor giliran melebihi 1,000.
Bilik menunggu juga sesak dengan ramai pesakit disambungkan kepada drip IV sambil menunggu tanpa tempat duduk atau ruang untuk bergerak.
Seorang wanita menanggalkan pelitup mukanya dan memberitahu semua katil di unit pesakit luar, kecemasan dan pemerhatian sudah penuh.
Jabatan kecemasan juga dilaporkan merawat 1,500 hingga 2,000 kanak-kanak setiap hari.
“Ramai daripada mereka mengalami jangkitan bersama seperti norovirus. Hanya segelintir kanak-kanak mempunyai satu jenis jangkitan, dan ramai mengalami radang paru-paru teruk dalam masa tiga hari,” katanya.
Doktor lain turut memberi amaran bahawa gelombang penyakit itu meragut begitu ramai nyawa kanak-kanak.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 13.74 juta penduduk Wuhan terkesan akibat penularan HMPV.
Penyakit ini menunjukkan gejala seperti selesema biasa, walaupun ia boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan atas, ia juga boleh membawa kepada masalah pernafasan bawah seperti radang paru-paru serta serangan asma.
































