NEW ORLEANS : Sambutan tahun baharu 2025 di Amerika Syarikat (AS) dikejutkan dengan insiden rempuhan trak pikap di New Orleans, Louisiana dan letupan Tesla Cybertruck di Hotel Trump International, Las Vegas.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua insiden menyebabkan 16 maut sekaligus menimbulkan persoalan sama ada ia saling mempunyai kaitan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan perkaitan antara insiden di Las Vegas dan New Orleans.
Semasa berucap dari Rumah Putih, Biden mengesahkan pentadbirannya turut memantau kedua-dua insiden yang berlaku serentak semasa sambutan Tahun Baharu 2025.
REMPUHAN MAUT
Suspek yang merempuh orang ramai sempena sambutan Tahun Baharu di Jalan Bourbon, New Orleans, Louisiana didakwa terpengaruh dengan dakyah kumpulan Daesh.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) malah mengklasifikasikan serangan yang mengorbankan 15 orang itu sebagai tindakan pengganas.
Menurut FBI, siasatan awal mendapati suspek, Shamsud-Din Jabbar, 42, tidak bertindak bersendirian.
Ia susulan, pihak berkuasa menemukan bendera Daesh, senjata api dan bahan letupan buatan dalam trak yang digunakan, serta peranti lain di kawasan French Quarter, lokasi popular di bandar itu.
FBI mendapati suspek yang merupakan seorang veteran tentera AS memuat naik video dalam media sosial sebelum serangan, dan mengaku mendapat ilham daripada Daesh.
“Siasatan juga menemukan bom paip yang disembunyikan di dalam kotak penyejuk dan dipasang dengan alat kawalan jauh.
“Kamera keselamatan turut menunjukkan tiga lelaki dan seorang wanita meletakkan peranti di lokasi tertentu, namun penglibatan mereka masih dalam siasatan,” kata FBI.
Rempuhan yang berlaku pada pukul 3.15 pagi, Rabu lalu, berlaku apabila Shamsud-Din memandu trak yang disewa dengan mengelak halangan polis yang dipasang di lokasi kejadian.
Dia akhirnya ditembak mati oleh pihak polis selepas cuba melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.
Dua anggota polis dilaporkan cedera dalam kejadian itu, tetapi berada dalam keadaan stabil.
Seorang saksi, Zion Parsons, 18, dari Gulfport, Mississippi memberitahu kenderaan itu bergerak laju sehingga orang ramai melambung ke udara.
“Ia seperti babak dalam filem, dengan mayat berselerakan di jalan. Orang ramai mula menjerit dan menyembunyikan diri,” katanya.
FBI mengklasifikasikan rempuhan itu sebagai serangan yang mendapat inspirasi daripada Daesh paling dahsyat pernah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Insiden itu menjadi peringatan tragis tentang ancaman keganasan yang berterusan dan usaha menyeluruh dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk di seluruh AS.
LETUPAN DEPAN HOTEL TRUMP
Di Las Vegas, sebuah kenderaan elektrik Tesla Cybertruck meletup di hadapan Hotel Trump International sehingga menyebabkan seorang maut dan tujuh lagi cedera.
Ketua Polis Las Vegas, Kevin McMahill memaklumkan kenderaan tersebut berhenti di depan pintu kaca hotel sebelum letupan besar berlaku.
Rakaman video menunjukkan trak keluli tahan karat itu meletup disusuli letupan kecil seperti bunga api.
“Seorang individu ditemukan maut di dalam Cybertruck, manakala tujuh lagi mengalami kecederaan ringan,” kata McMahill dalam sidang akhbar.

































