SURAT, India: Seorang lelaki di Gujarat, India sanggup memotong empat jarinya kerana mahu mengelak daripada terus bekerja sebagai operator komputer di syarikat milik keluarga.
Menurut Utusan Malaysia, insiden mengejutkan itu terdedah selepas Mayur Tarapara, 32, datang ke balai polis Surat untuk membuat laporan mengenai empat jari kirinya terpotong.
Lelaki itu mendakwa, jarinya terputus dalam kemalangan motosikal ketika perjalanan ke rumah rakan.
Mayur mendakwa, dirinya pengsan di tepi jalan dan sebaik sedar 10 minit kemudian, dia mendapati empat jari kiri sudah terputus.
Polis yang menerima laporan lelaki itu pada awalnya mengesyaki jari Mayur dicuri untuk ritual ilmu hitam.
Bagaimanapun, siasatan lanjut polis menemukan beberapa percanggahan apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Mayur memberhentikan motosikalnya berhampiran jalan besar sebelum berjalan pergi dan kemudian kembali dengan tangan kiri yang cedera.
Tiada saksi melihat beliau pengsan di lokasi yang didakwanya sebelum lelaki itu akhirnya mengaku memotong jarinya sendiri kerana tidak mahu lagi bekerja di syarikat berlian milik keluarga.
“Dia mengaku membeli pisau tajam dari sebuah kedai di Char Rasta, Singanpore. Empat hari kemudian, pada malam Ahad kira-kira pukul 10 malam, dia pergi ke Amroli Ring Road, memberhentikan motosikalnya dan memotong empat jari tangan kirinya menggunakan pisau tersebut,” kata seorang pegawai polis kepada The Hindu.
Menurutnya, lelaki itu turut mengikat bahagian lengan dekat siku untuk menghalang pendarahan dan kemudian memasukkan pisau serta jari yang terpotong ke dalam sebuah beg sebelum ia dibuang.
Katanya, motif lelaki terbabit bertindak demikian adalah kerana enggan meneruskan perkhidmatan di kilang berlian milik saudara, namun tidak berani menyuarakan hasrat itu sehingga menyebabkan dia nekad ‘mencacatkan’ jari sendiri untuk hilang kelayakan bekerja.
Polis berjaya menemukan beg yang mengandungi tiga jari lelaki itu, namun masih berusaha mendapatkan maklumat lanjut untuk melengkapkan siasatan kes aneh berkenaan.
“Dia mengaku tidak mahu bekerja di kilang berlian itu dan merancang untuk memotong empat jarinya agar tidak perlu terus bekerja di sana,” kata pegawai polis.
































