Institut Penyelidikan Perubatan Hospital Kitano di Osaka menunjukkan imej sebelum (atas) dan selepas ujian ubat pertumbuhan semula gigi pada ferret dan tikus.
TOKYO: Pasukan saintis Jepun sedang menguji ubat revolusi yang berpotensi membolehkan manusia menumbuhkan gigi baharu, memberikan alternatif kepada penggunaan gigi palsu dan implan.
Menurut Utusan Malaysia, usaha itu diterajui Ketua Pembedahan Oral Institut Penyelidikan Perubatan Hospital Kitano, Katsu Takahashi di Osaka.
Manusia, seperti mamalia lain, lazimnya hanya menumbuhkan dua set gigi sepanjang hayat namun, kajian mendapati terdapat tunas gigi generasi ketiga yang tidak aktif tersembunyi di bawah gusi kita.
Pada Oktober lalu, pasukan penyelidik Takahashi memulakan ujian klinikal di Hospital Universiti Kyoto, menggunakan ubat eksperimen yang dipercayai mampu mengaktifkan tunas gigi tersebut.
“Keadaan genetik ini, yang dianggarkan menjejaskan 0.1 peratus populasi, menyukarkan pesakit untuk mengunyah dan sering menyebabkan mereka berasa malu untuk menunjukkan gigi mereka.
“Ubat ini boleh menjadi penyelesaian besar buat mereka,” tambahnya, sambil menyatakan sasaran utama adalah kanak-kanak dengan harapan ia dapat digunakan seawal tahun 2030.
Kajian terdahulu pasukan itu juga menunjukkan rawatan ini berpotensi mengatasi masalah kehilangan gigi pada manusia.
Ujian klinikal itu buat masa ini melibatkan pesakit dewasa yang telah kehilangan sekurang-kurangnya satu batang gigi bagi menguji keselamatan ubat tersebut.
Walaupun objektif utama bukanlah menumbuhkan gigi baharu, Takahashi optimis kemungkinan kejayaan boleh berlaku secara tidak langsung.
Dengan lebih 90 peratus rakyat Jepun berusia 75 tahun ke atas kehilangan sekurang-kurangnya satu batang gigi, teknologi itu diharapkan mampu memanjangkan tempoh hidup sihat mereka.


































