Pemain skuad kebangsaan berlatih di padang Wisma FAM, semalam sekembali dari Phnom Penh. – Ihsan FAM
PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente tidak dapat menyembunyikan rasa kekecewaan yang dialaminya selepas melihat pasukannya sekadar seri 2-2 menentang Kemboja dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN 2024, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Pau Marti berkata, Harimau Malaya turun ke Stadium Olimpik, Phnom Penh dengan mentaliti mendapatkan tiga mata malah turut meletakkan jangkaan menerima tentangan sengit daripada skuad kendalian Koji Gyotoku namun bukan itu keputusan yang dimahukan.
Pengendali dari Sepanyol itu bagaimanapun memuji semangat juang pemainnya apabila kekal bersemangat mendapatkan gol walaupun pada suatu ketika tuan rumah hampir berjaya mengaibkan Harimau Malaya.
“Perlawanan yang sukar seperti dijangka. Jujurnya, kami menjangkakan perlawanan berintensiti tinggi, sukar untuk mengawal rentak permainan. Bermain dalam stadium yang penuh, tuan rumah pastinya ada kelebihan ini dan kami perlu membiasakan diri dengan tekanan seperti ini.
“Saya fikir secara keseluruhannya perlawanan agak buruk, saya tak boleh merungut bagaimana kami bertarung, pemain komited dalam perlawanan ini.
“Bagaimanapun sedikit kekecewaan, selepas mendahului satu gol pada pertengahan babak kedua kami dibolosi dan kami dibolosi sekali lagi menerusi sepakan bola mati. Ini perkara yang perlu diperbaiki.
“Kami dibolosi tetapi apa yang positifnya kami dapat mengatasinya dengan menyamakan kedudukan, kami tidak pernah berputus asa walaupun pemain berasa kecewa dan marah kerana mereka mahu kemenangan,” katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan Harimau Malaya berada di kedudukan ketiga kumpulan, berkongsi satu mata dengan Kemboja yang menghuni tangga kedua.
Thailand menghuni tangga teratas Kumpulan A selepas juara bertahan itu mencatat kemenangan pertama mereka dengan membelasah Timor Leste 10-0 manakala Singapura masih belum turun beraksi.
Mengulas lanjut mengenai peluang Harimau Malaya melepasi peringkat kumpulan, Pau Marti optimis pasukannya dapat melakukannya walaupun lawan yang bakal dihadapi oleh mereka selepas ini lebih sukar.
“Ini sasaran kami dan itu yang kami mahukan (ke separuh akhir), kami mahu menang semua perlawanan. Main ditempat lawan sukar namun saya selalu cakap kalau tak boleh menang tetapi sekurang-kurangnya jangan kalah, itu penting,” katanya.
Selepas ini, skuad kebangsaan dijadual menentang Timor Leste di Bukit Jalil pada Rabu ini sebelum menentang Thailand pada 14 Disember dan Singapura pada 20 Disember.


































