Trafik sesak ketika waktu puncak di lebuh raya Los Angeles di Alhambra, California.
WASHINGTON: Pendedahan kepada plumbum daripada pencemaran ekzos kenderaan sepanjang abad ke-20 telah memberi kesan besar terhadap kesihatan mental jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS), menurut kajian terbaharu yang didedahkan pada Rabu.
Menurut Utusan Malaysiaz penyelidik menganggarkan pendedahan kepada plumbum toksik daripada petrol, yang digunakan secara meluas sebelum diharamkan pada 1996, telah menyumbang kepada 151 juta kes gangguan kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan, dan gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD).
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Child Psychology and Psychiatry itu menggunakan data sejarah mengenai paras plumbum dalam darah, corak penggunaan petrol dan statistik kesihatan mental untuk menilai kesan jangka panjang plumbum terhadap masyarakat.
“Manusia tidak dilahirkan untuk terdedah kepada plumbum pada tahap seperti yang berlaku dalam abad lalu.
“Kita mempunyai langkah yang sangat terhad untuk mengatasi plumbum apabila ia telah memasuki tubuh dan ramai di antara kita terdedah kepada tahap yang 1,000 hingga 10,000 kali lebih tinggi daripada yang sepatutnya secara semula jadi,” jelas Pakar Neuropsikologi Universiti Duke, Aaron Reuben dalam satu kenyataan.
Kajian ini turut merujuk penyelidikan terdahulu yang mendapati pendedahan kepada plumbum menyebabkan rakyat AS kehilangan 824 juta mata IQ sepanjang abad lalu.
“Generasi X, yang lahir antara 1965 dan 1980, mengalami pendedahan paling tinggi kepada plumbum dan kerugian kesihatan mental paling ketara,” ujar Ahli Sosiologi di Universiti Negeri Florida, Mathew Hauer.
Reuben menegaskan kesan toksik plumbum bukan sahaja menyebabkan gangguan psikiatri sepenuhnya tetapi juga penurunan kualiti hidup secara halus namun meluas.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pendedahan kepada plumbum menyebabkan lebih 1.5 juta kematian di seluruh dunia pada 2021, terutamanya akibat kesan kardiovaskular.
WHO mengenal pasti plumbum sebagai satu daripada 10 bahan kimia utama yang menjadi kebimbangan kesihatan awam dan menyeru tindakan oleh negara anggota untuk melindungi kesihatan pekerja, kanak-kanak, serta wanita usia reproduktif.
































