KUALA LUMPUR: Lapan rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara sepanjang persidangan Dewan Rakyat minggu ini.
Menurut Utusan Malaysia, RUU itu diluluskan pada Selasa setelah melalui 12 hari tempoh perbahasan dan penggulungan peringkat jawatankuasa bermula 13 November lepas bagi setiap kementerian terlibat.
Turut diluluskan minggu ini ialah RUU Kewangan 2024, RUU Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2024 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024.
Selain itu, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024, RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 turut diluluskan.
Persidangan minggu ini juga menyaksikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab beberapa isu berkaitan jenayah penipuan dalam talian dan musibah banjir yang sedang melanda negara ketika ini.
Persidangan minggu ini juga menyaksikan tiga RUU dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat iaitu RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024.
Dewan Rakyat turut membuka lembaran baharu dalam reformasi institusi apabila buat julung kalinya Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) diberi peluang untuk membuat penerangan bagi penyata jawatankuasa masing-masing.
Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan penyata masing-masing pada sesi penerangan penyata di minggu kelapan persidangan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sesi penerangan penyata itu bertujuan memberi pendedahan serta liputan luas kepada rakyat mengenai fungsi dan peranan JKPK dalam membincangkan isu-isu semasa.
Turut menarik perhatian minggu ini ialah penggantungan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim daripada menghadiri Dewan Rakyat selama 10 hari bermula semalam, susulan kenyataan negatif terhadap Johari menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai.
Johari berkata, tindakan itu diambil setelah pelbagai cara dibuat bagi meminta Awang memohon maaf dan menarik balik ucapan termasuk menerusi surat yang dihantar pada 22 Julai, namun tidak diendahkan.


































