Presiden FIFA, Gianni Infantino bersama bekas bintang Brazil, Ronaldo menyingkap kain yang menutup trofi Piala Dunia Kelab dalam majlis undian pasukan di Miami, Florida, kelmarin.
MIAMI: Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City diundi dalam Kumpulan G bersama Juventus, Wydad AC, dan Al Ain dalam saingan Piala Dunia Kelab FIFA 2025 pada 15 Jun hingga 13 Julai depan.
Menurut Utusan Malaysia, kejohanan yang melibatkan 32 pasukan terbaik dunia itu menyaksikan City akan memulakan kempen dengan menentang Wydad AC, diikuti Al Ain, sebelum mengakhiri saingan kumpulan menentang Juventus.
Sementara itu, Chelsea akan memulakan perlawanan Kumpulan D menentang Leon sebelum menentang Flamengo dan Esperance, manakala Kumpulan F dianggotai oleh Fluminense, Borussia Dortmund, Ulsan HD dan Mamelodi Sundowns.
Pasukan Lionel Messi, Inter Miami dari liga Amerika Syarikat (AS), pula berada dalam Kumpulan A bersama Al Ahly, Porto, dan Palmeiras.
Real Madrid, juara Eropah, diundi dalam Kumpulan H yang turut menampilkan Al-Hilal, Pachuca, dan Red Bull Salzburg.
Kumpulan lain menyaksikan Bayern Munich dalam Kumpulan C, Inter Milan di Kumpulan E, dan Paris Saint-Germain di Kumpulan B.
Majlis undian turut menampilkan mesej daripada Presiden AS, Donald Trump, yang memuji Presiden FIFA, Gianni Infantino serta menyifatkan bola sepak semakin berkembang di AS dan menyatakan hasrat untuk hadir pada kejohanan tersebut.
“Acara ini akan menjadi luar biasa. Saya akan cuba dan berada di sana. Jika saya boleh, saya akan lihat, kita akan lihat apa yang berlaku. Tetapi saya hanya ingin mengatakan anda dipimpin oleh seorang lelaki bernama Gianni.
“Saya hanya mengenalinya sebagai Gianni dan dia seorang pemenang dan dia adalah presiden, dan saya adalah presiden. Kami sudah lama mengenali antara satu sama lain, dan saya sangat berbesar hati untuk menjalinkan hubungan seperti ini kerana bola sepak semakin hangat,” kata Trump.
































