Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Action Plan on Forest Plantation Development (2022-2036), telah mensasarkan untuk membangunkan seluas 400,000 hektar kawasan ladang hutan (Industrial Timber Plantation – ITP) dalam kawasan hutan simpan yang telah dikenal pasti terosot dalam tempoh 20 tahun bermula tahun 2022 hingga 2036.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata setakat bulan Oktober 2024, seluas 180,901 hektar kawasan ladang hutan telah berjaya dibangunkan (bagi tahun 2024 sahaja, seluas 3,328 ha kawasan ladang hutan telah dibangunkan).
Spesis utama yang ditanam untuk pembangunan ladang hutan adalah getah, akasia, batai, laran dan eucalyptus pellita.
“Pembangunan ladang hutan ini perlu dilakukan bagi memastikan bekalan kayu untuk industri perkayuan dapat dikekalkan dan dijangka dapat menyediakan sebanyak 40,000 peluang pekerjaan untuk pekerja mahir dan separuh mahir.
“Dengan pembangunan ladang hutan secara berkekalan ini, desakan permintaan kayu dari kawasan hutan asli dapat dikurangkan dan seterusnya dapat memenuhi keperluan antarabangsa untuk mengurangkan kemusnahan natural forest,” katanya semasa menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Rabu.
Beliau menjawab isu dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang).
Berkenaan isu yang dibangkitkan oleh Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin (Nabawan), Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Hasil Bumi dan terdiri daripada Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur dan Kementerian Kewangan untuk mengenal pasti jalan-jalan yang termasuk dalam hutan simpan yang perlu diwartakan untuk kegunaan komuniti di bawah Seksyen 14, Enakmen Hutan 1968.
Beliau berkata melalui jawatankuasa tersebut, Kerajaan Negeri telah menyenarai pendek dan menyediakan draf perwartaan bagi 28 jalan untuk pelaksanaan Seksyen 14 Enakmen Hutan 1968 dalam Inisiatif Pengiktirafan Hak Dan Keistimewaan (Right And Privileges) bagi jalan raya awam yang memasuki hutan simpan yang meliputi beberapa daerah seperti Tenom, Nabawan, Kinabatangan, Kota Kinabalu, Tibow, Tongod, Keningau, Sipitang, Kota Marudu dan Sook.
Katanya di Nabawan, sebanyak enam jalan yang telah disenarai pendek adalah seperti Jalan Kg. Mosopoh – Kg. Katalirus; Jalan Sapulut – Pensiangan; Jalan Kg. Katalirus – Kg. Layon; Jalan Kg. Pohon Batu – Kg. Pangaraan; Jalan Keningau – Kg Pohon Batu; dan Jalan Keningau 12 Nabawan – Kg. Pangaraan.
“Kerajaan Negeri berharap agar kesemua jalan yang telah dikenal pasti akan diwartakan ini melalui Seksyen 14 Enakmen Hutan 1968 yang mengiktiraf hak dan keistimewaan penduduk kampung yang menggunakan jalan-jalan yang melalui hutan simpan untuk memasarkan hasil pertanian atau akses utama mereka untuk mendapatkan kemudahan kesihatan, pendidikan, dan lain-lain ke daerah yang berhampiran serta bagi membolehkan peruntukan pembangunan yang sewajarnya dapat disalurkan untuk tujuan penyelenggaraan.”
Kepada isu dibangkitkan oleh Dumi Pg Masdal (Silam), Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik) dan Assaffal P Alian (Tungku), Hajiji berkata Kerajaan Negeri sememangnya amat prihatin kepada rakyat yang telah tinggal dalam kawasan hutan simpan sejak sekian lama tanpa jaminan pemilikan tanah.
Atas sebab itu, katanya Kerajaan Negeri telah membubarkan kawasan hutan simpan yang telah lama didiami oleh rakyat untuk tujuan penempatan dan eksasais ini telahpun pernah dijalankan sebelum ini.
“Ini termasuklah sebahagian kawasan Hutan Simpan Tg. Tumunong Hallu, Kelas I seluas 140 hektar melibatkan Kg. Seri Aman dan Kg. Silam di Hutan Simpan Silam Kelas I seluas 56 hektar di daerah Lahad Datu.”
Ketua Menteri berkata semua cadangan pembubaran bagi kampung-kampung yang termasuk dalam kawasan hutan simpan akan dikaji dan diperiksa secara terperinci di lapangan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.
“Pemeriksaan dan pengesahan semula maklumat penduduk melalui Social Baseline Survey akan dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Sabah di kesemua kampung-kampung tersebut, sebelum keputusan lanjut dibuat. Cadangan ini juga akan dibincangkan dengan lebih terperinci melalui mesyuarat Jawatankuasa Hutan Simpan Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Hasil Bumi,” jelas Hajiji.
Beliau berkata hutan adalah sebahagian daripada ekosistem global yang menampung serta memperkayakan kehidupan manusia, selain mempengaruhi iklim setempat dan menyediakan habitat pelbagai spesis tumbuhan, haiwan dan serangga.
































