Mohd. Azhari Mohd. Amin sugul melihat rumahnya yang terbakar di Kampung Telaga Lanas, Tumpat, Kelantan.
TUMPAT: Seorang ibu dan anaknya nyaris rentung selepas terperangkap dalam bilik tidur rumah mereka di Kampung Telaga Lanas di sini yang terbakar dalam kejadian pada petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.15 petang semasa Cik Nor Fadila Che Noh, 36, menidurkan anaknya, Nur Farra Asya Airis Mohd. Azhari, 2, di dalam bilik tidur.
Suaminya, Mohd. Azhari Mohd. Amin, 40, berkata, ibunya, Lijah Salleh, 82, menyedari almari baju berhampiran bilik tidur terbakar sebelum menjerit meminta pertolongan.
Dia yang ketika itu hampir terlelap di dalam bilik tidur yang sama dengan anak dan isterinya, terkejut mendengar jeritan ibunya sebelum bergegas keluar.
“Saya menyimbah air ke arah almari itu, namun api terus marak sebelum merebak ke dalam bilik tidur yang ada anak dan isteri. Api bertambah besar apabila ia menyambar kain yang dijadikan penghadang bahagian siling rumah.
“Keadaan itu menyebabkan isteri dan anak saya terperangkap di dalam bilik itu. Bahagian siling rumah yang terbakar juga jatuh ke atas katil lalu menimpa isteri saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Mohd. Azhari memberitahu, tanpa menghiraukan asap tebal, dia meluru masuk ke dalam bilik untuk menyelamatkan mereka, namun buntu buat seketika kerana tiada jalan keluar dari bilik itu sebelum menendang tingkap bilik dan mengeluarkan anak dan isterinya,” katanya.
Ujarnya, kebakaran itu mengakibatkan mereka lima beranak tinggal sehelai sepinggang apabila semua harta benda musnah termasuk sebuah motosikal.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 4.32 petang sebelum 14 anggota dari dua buah balai bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, 95 peratus bahagian rumah tersebut musnah dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.


































