Limus Jury
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Pelabuhan dan Dermaga (JPDS) sentiasa komited ke arah memastikan kecekapan dan keberkesanan kawalan trafik perkapalan.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata, ini bagi mengelakkan dari berlakunya sebarang insiden kemalangan maritim.
Menurutnya, status terkini bagi kawalan trafik perkapalan di perairan Sabah, terutama dalam kawasan had-had pelabuhan adalah pada tahap yang baik dan terkawal.
“Selaku Jabatan yang bertanggungjawab dalam mengawal selia kawalan lalu lintas air dalam kawasan had-had pelabuhan di Sabah, JPDS telah dan sedang mengambil usaha dan tindakan seperti melaksanakan kerja-kerja penggantian dan menaik taraf sistem pemonitoran trafik perkapalan sedia ada.
“Usaha ini telah dimulakan pada bulan Disember 2023 di Menara Kawalan Kota Kinabalu dengan menaik taraf kemudahan sistem VTMS yang baharu yang mana sistem tersebut adalah berasaskan perisian Kongsberg Norcontrol yang memenuhi piawaian VTMS, dengan integrasi Automatic Identification System (AIS) tempatan dan sistem sokongan dalam pengurusan trafik.
“Penggunaan sistem ini didapati lebih cekap dan efisien serta amat bersesuaian untuk tujuan pemantauan trafik perkapalan,” katanya.
Tambah beliau, pada tahun ini dan tahun-tahun berikutnya, JPDS akan meneruskan usaha dan tindakan menaik taraf sistem VTMS ini untuk keperluan kawasan had-had pelabuhan Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Sipitang.
Katanya, perancangan pelaksanaan usaha ini disasarkan akan selesai sepenuhnya pada pertengahan tempoh Rancangan Malaysia Ke-13.
Limus menjawab soalan lisan daripada Datuk Jaffari Waliam (ADUN Dilantik) dan Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Jaffari bertanya apakah usaha dan tindakan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam mengawal trafik perkapalan di pelabuhan-pelabuhan di Sabah bagi mengelakkan insiden-insiden kemalangan maritim, manakala Dr. Yusof bertanya apakah status kawalan trafik perkapalan di perairan Sabah, apakah tindakan Kerajaan untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan kawalan trafik perkapalan di pelabuhan dan laluan utama perkapalan untuk mengelakkan insiden kemalangan maritime, dan adakah statistik berkaitan kemalangan kapal yang berlaku.
Limus berkata, Kementeriannya juga meningkatkan kemahiran dan kecekapan petugas-petugas JPDS yang mengendalikan sistem VTMS yang baharu melalui sesi-sesi latihan dan kursus yang berterusan.
“Kita juga menekankan budaya penyelenggaraan ke atas alat-alat bantuan pelayaran seperti bikon dan boya agar dapat terus berfungsi dengan baik dan memastikan keselamatan pelayaran dalam kawasan had-had pelabuhan di seluruh Sabah tidak terjejas.
“Menyusun atur semula kawasan-kawasan labuhan di perairan had-had pelabuhan dengan menyediakan laluan trafik yang lebih sistematik, supaya lebih selamat serta dapat memastikan penyampaian perkhidmatan pelabuhan yang lebih efisien.
“Mengadakan sesi libat urus secara berperingkat bersama dengan malim-malim berlesen untuk membincangkan dan berkongsi pengetahuan serta kemahiran terkini ke arah pelaksanaan tatacara pengendalian perkhidmatan pemaliman berdasarkan amalan terbaik (best practice) pada masa kini,” katanya.
Berhubung statistik kemalangan kapal dagang di setiap pelabuhan seluruh sabah dari tahun 2022 hingga tahun 2024, Limus memberitahu bahawa hanya dua kemalangan direkodkan.
Katanya, kemalangan pertama berlaku di Kawasan Had Pelabuhan Kota Kinabalu pada 25 Februari 2023 melibatkan kapal Maersk Hai Phong yang mengalami kemalangan kekandasan dan kemalangan kedua berlaku juga di Kawasan Had Pelabuhan Kota Kinabalu pada 5 Oktober 2024 melibatkan kapal Mt Haven & MV Green Pacific yang mengalami kemalangan kekandasan pelanggaran.


































